SINGAPURA – Harga minyak mentah susut dalam awal dagangan di Asia hari ini selepas aktiviti penggerudian di Amerika Syarikat menaik dan pengeluar minyak Rusia mendesak Presiden Vladimir Putin supaya mengakhiri rundingan pengurangan bekalan dengan OPEC,

Niaga hadapan minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) didagangkan kepada AS$52.44 setong pada 0036 GMT, susut AS$0.28 atau 0.5 peratus berbanding harga penutup.

Minyak Brent pula susut AS$0.10 kepada AS$62 setong.

Firma-firma minyak di Amerika Syarikat telah meningkatkan bilangan pelantar minyak yang beroperasi untuk kali kedua dalam tempoh tiga minggu, menurut Baker Hughes pada hari Jumaat.

Syarikat-syarikat menambah tujuh pelantar minyak pada minggu tersebut hingga 8 Februari, menjadikan kiraan jumlahnya kepada 854 – menunjuk kepada peningkatan dalam pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat yang sudah berada pada rekod 11.9 juta tong sehari.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rosneft, Igor Sechin, telah menulis kepada Putin mengatakan perjanjian Moscow dengan Organisasi Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) untuk mengawal pengeluaran telah menjadi ancaman strategik dan dipermainkan oleh Amerika Syarikat.

Perjanjian OPEC yang dilaksanakan sejak tahun 2017, bertujuan untuk mengatasi masalah bekalan global yang berlebihan.

Ia telah dilanjutkan beberapa kali dan di bawah perjanjian terbaharu, OPEC dan rakan-rakan sekutunya termasuk Rusia telah bersetuju mengurangkan bekalan sebanyak 1.2 juta tong sehari sehingga akhir bulan Jun ini.

OPEC dan sekutunya akan bertemu pada 17-18 April di Vienna untuk mengkaji perjanjian itu. – MalaysiaGazette