KUALA LUMPUR – Penafian Menteri Besar Perak, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Menteri Pertahanan yang mendakwa tidak pernah menyatakan mereka adalah graduan universiti menimbulkan beberapa persoalan.
Pengakuan daripada Ahmad Faizal Azumu, Zuraida Kamaruddin dan Mohamad Sabu itu pelik kerana biodata mereka dikeluarkan oleh Bernama – saluran berita rasmi kerajaan.
Biodata itu dikeluarkan oleh Bernama dalam infografik-infografik ketika mereka dilantik sebagai menteri sembilan bulan lalu.
Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan adakah editorial Bernama telah membuat kesilapan atau pasukan menteri yang memberi informasi salah.
Setahu beliau, satu kelaziman untuk Bernama meminta biodata dari pasukan pembantu khas dan Setiausaha Akhbar Menteri apabila seseorang menteri baru dilantik untuk digunakan dalam laporan berita agensi itu.
“Ini sumber dari BERNAMA, bukan dari Wikipedia sahaja.
“Apa yang mereka lakukan selama kira-kira 9 bulan itu? Diamkan diri.
“Selepas penafian-penafian ini, BERNAMA di bawah kerajaan PH telah jelas didapati mengeluarkan berita tidak sahih kepada Rakyat,” kata bekas Perdana Menteri itu.
Sehubungan itu, Najib bertanya, adakah Menteri Komunikasi dan Multimedia dari DAP yang juga menteri yang ‘menjaga’ Bernama akan menyiasat siapa sebenarnya yang menjadi punca menyebabkan berita tidak sahih.
“Adakah BERNAMA yang menipu ataupun pegawai-pegawai Menteri yang menipu?,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut mempersoalkan mengapa menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhubung isu kesahihan ijazah yang dimiliki oleh menteri-menteri Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, isu itu disoal oleh rakyat selepas mereka tidak puas hati kerana terus ditipu.
“Last-last dia salahkan UMNO dan BN. Yang tipu degree, Menteri PH.
“Yang soal, Rakyat. Yang kantoi dengan sendirinya, menteri-menteri PH.
“Yang tidak puas hati kerana ditipu lagi, Rakyat.
“Yang dipersalahkan, UMNO dan BN pulak?,” katanya.
Menurut Najib, apa salahnya rakyat menyoal integriti dan mengkritik pemimpin PH yang telah jelas menipu sehingga Kit Siang perlu mengecam tindakan rakyat ini sebagai serangan politik paling toksik dan ganas dalam sejarah.
“Dah over-drama sangat ini. Terlebih makan limau mandarin ke?,” kata Najib. – MalaysiaGazette