Shaharizukirnain Abdul Kadir
Shaharizukirnain Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Isu memalsukan sijil pengajian dan penambahan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AES) membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini berdepan dengan defisit kepercayaan rakyat.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, rakyat ketika ini sedang memerhati tindak tanduk pemimpin PH dan menilai perbuatan mereka sebelum serta selepas mengambil alih kerajaan.

Katanya, dalam hal berkaitan isu sijil pengajian palsu, beliau masih ingat bagaimana DAP ketika masih pembangkang sebelum ini bermati-matian mendesak ahli kabinet kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu, meletakkan jawatan.

Namun, selepas menjadi kerajaan, DAP diam seribu bahasa apabila Timbalan Menteri Luar kerajaan PH dikatakan memiliki sijil palsu.

“Begitu juga berkenaan isu AES. Kerajaan PH terus menerus melakukan pusingan u-turn.

“Sebelum ini, pelaksanaan AES ditentang habis-habisan oleh pemimpin PH yang menyifatkan sistem itu suatu tindakan kejam kerajaan BN kepada rakyat.

“Bagaimanapun, kini di bawah kerajaan PH, menterinya kata pelaksanaan AES bertepatan dengan Maqasid Syariah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mempersoalkan, di mana kredibiliti pemimpin PH apabila sanggup memalsukan sijil pengajian dan sentiasa pula membuat pusingan u-turn.

Kata Shaharilzukirnain, isu PTPTN, penghapusan tol serta lantikan ahli politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) juga membuktikan segala janji kerajaan PH kepada rakyat turut hilang kredibilitinya.

“Saya berharap kredibiliti pentadbiran negara dapat diatasi. Selagi mana kemelut kepimpinan tidak dapat diselesaikan, selagi itulah semakin terhakis ‘trust deficit’ rakyat terhadap kerajaan yang sehingga kini semakin membarah,” katanya. – MalaysiaGazette