Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian

SEBELUM INI, saya ada mengeluarkan satu artikel mengenai Menteri Besar Johor, Osman Sapian yang bertindak diluar jangkaan apabila membuat keputusan melantik calon-calon yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai Yang Berhormat (YB) di DUN pembangkang seperti di DUN Buloh Kasap, DUN Panti dan lain-lain.

Pada awalnya saya ingatkan cukup hanya sekadar lantikan semata-mata tetapi ianya tidak sama sekali. Malah usaha ini diteruskan lagi dengan memberikan kemudahan pejabat yang lengkap kepada ‘YB PALSU’ di setiap kawasan.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi sehingga ke tahap menyediakan pejabat kepada ‘YB PALSU’. Jadi, di sini terdapat beberapa persoalan yang perlu dijelaskan dan dirungkai sendiri oleh Osman Sapian atas tindakan yang dilakukannya supaya tiada apa-apa yang boleh disembunyikan atau timbul salah faham dikemudian hari antara Menteri Besar Johor dengan rakyat Johor.

Pertamanya, berapakah kos perbelanjaan sewa dan penyelenggaraan yang akan dikeluarkan setiap bulan kepada setiap ‘YB PALSU’ ini? 

Kedua, jika setiap ‘YB PALSU’ ini diberikan pejabat sudah tentu akan diberikan elaunnya juga.  Almaklumlah zaman sekarang tiada pekerjaan yang percumakan? Jadi berapa pula kos perbelanjaan elaun yang dikeluarkan setiap bulan kepada setiap ‘YB PALSU’ ini? 

Ketiga, adakah kos perbelanjaan ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri sendiri atau menggunakan duit parti? Persoalan ini wajib dijawab oleh Menteri Besar Johor, Osman Sapian.

Jika kos perbelanjaan untuk merealisasikan ‘program’ YB PALSU ini seratus peratus menggunakan duit kerajaan negeri, nampaknya tindakan ini sesuatu yang amat membazirkan kepada kerajaan negeri dan rakyat sendiri. Apa tidaknya sedangkan di setiap DUN sudahpun mempunyai YB yang sah dan betul.

Tidak kiralah YB dari blok pembangkang mahupun kerajaan, pokok pangkalnya yang perlu kita tahu di setiap DUN sudah mempunyai YB yang dipilih oleh rakyat sendiri. Jadi apa faedah yang boleh diterima apabila Osman Sapian membazir duit semata-mata untuk YB PALSU ini?

Walaupun ketika pengumuman Bajet Johor pada tahun lepas ada mengumumkan bahawa negeri Johor mempunyai bajet lebihan. Ia tidak bermakna bajet lebihan boleh dibelanjakan dengan sesuka hati apatah lagi digunakan untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti ini.

Tetapi sekiranya kos perbelanjaan YB PALSU ini menggunakan duit parti. Persoalannya bagaimana parti yang baru setahun jagung ini mempunyai dana yang begitu besar sehingga mampu menanggung kos perbelanjaan bagi perkara seperti ini? Bukankah sebelum ini, ada ura-ura yang mengatakan bahawa parti tidak mempunyai duit yang mencukupi? Jadi?

Malah jika melihat kepada situasi yang berlaku ini, ia secara tidak langsung dapat dikaitkan dengan isu yang sedang panas ketika ini berhubung dengan isu ijazah Akauntan palsu yang dimiliki oleh  Menteri Besar Johor, Osman Sapian.

Jadi sekiranya dakwaan ini benar tidak hairanlah mengapa pengurusan kewangan negeri Johor kucar-kacir dibuatnya. Habis duit kerajaan negeri di joli untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti program ‘YB PALSU’ ini.

Akhir sekali, saya berharap Menteri Besar Johor, Osman Sapian dapat menjawab dan menjelaskan satu persatu persoalan yang dikemukakan di atas ini.

ARTIKEL penuh sumbangan Dhia Hani dari Persatuan Pemikir Muda Johor.

ARTIKEL BERKAITAN:

http://johorpress.com/pakatan-harapan-johor-gila-pangkat/

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast