Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Momentum dana-dana asing memasuki Bursa Malaysia merekodkan tertinggi pada minggu lepas meskipun pada musim perayaan.

Pelabur asing membeli sebanyak RM163.2 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu berbanding RM146.8 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

Menjelang sehari sebelum perayaan Tahun Baru Cina, aliran masuk asing merekodkan sejumlah RM49.1 juta meskipun dagangan dibuka separuh hari.

Momentum aliran masuk asing meningkat kepada RM89.4 juta semasa pasaran dibuka semula pada hari Khamis, dipacu oleh peningkatan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat sebanyak 0.53 peratus.

Firma penyelidikan itu berkata, dana-dana asing terus membeli ekuiti tempatan buat hari kelima berturut-turut pada hari Jumaat pada jumlah RM24.6 juta.

Pada masa sama, pasaran di negara-negera Asia lain seperti Korea Selatan, Thailand dan Indonesia pula menyaksikan aliran keluar dana-dana asing secara berterusan di tengah-tengah kebimbangan tentang rundingan perdagangan baharu antara Amerika Syarikat dan China.

Ia susulan kenyataan Presiden Donald Trump yang tidak akan  bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping sebelum tarikh akhir 1 Mac.

Sehingga Jumaat lalu, Malaysia telah menerima aliran masuk dana asing sebanyak RM1.19b, lebih daripada separuh daripada apa yang dilihat pada masa yang sama tempoh tahun lepas.

Berbanding dengan empat negara ASEAN yang dipantau MIDF Research, Malaysia adalah negara kedua menerima aliran masuk pelabur asing kedua terendah.

Katanya, penyertaan semua kumpulan pelabur merosot pada minggu tersebut dengan pelabur asing merekodkan penurunan terbesar mingguan dengan nilai dagagan purata harian susut 43.2 peratus, susut di bawah RM1 bilion. – MalaysiaGazette