KUALA LUMPUR: Selepas muncul sebagai filem Tamil tempatan pertama yang mencatatkan kutipan luar biasa, Vedigundu Pasangge sekali lagi membuktikan ia sukar ditandingi dan berada dalam kelas tersendiri apabila mendominasi Anugerah CINEFEST 2019 dengan pencalonan dalam 22 kategori.

Lebih membanggakan, filem Tamil tempatan pertama yang ditayangkan di United Kingdom itu memenangi 10 daripadanya, termasuk anugerah utama iaitu Filem Terbaik Cinefest 2019.

Filem yang meraih kutipan RM1.3 juta, pertama kali dalam sejarah perfileman Tamil tempatan, turut menyapu bersih sejumlah besar kategori utama bagi mengalahkan filem-filem lain.

Antaranya ialah Pengarah Terbaik (Dr. Vimala Perumal), Pelakon Lelaki terbaik (Denes Kumar), Anugerah Khas Juri (Filem Box Office 2018), Skor Muzik Terbaik – Antarabangsa (Vivek-Mervin), Sinematografi Terbaik – Antarabangsa (P. Chidambaram), Penyunting Terbaik – Antarabangsa (Anand Geraldin), Video Muzik Terbaik (#LoveMood), Lagu Terbaik (Vizhiye Kalangathey) dan Penyanyi Wanita Terbaik (Datin Seri Shaila Nair).

Vedigundu Pasangge pecah rekod

Kemenangan besar untuk seluruh pasukan dan tenaga kerja Vedigundu Pasange itu membuktikan bahawa filem Tamil tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan filem tempatan lain, selepas sekian lama dilihat terpinggir dari arus perdana.

Malah filem trilogi ini sebenarnya mendapat sambutan luar biasa daripada hampir keseluruhan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Padat dengan elemen komedi, konflik, percintaan, kekeluargaan, persahabatan dan sosio budaya komuniti India negara, Vedigundu Pasangge membawa penonton keluar dari jalan cerita klise yang sering dipersembahkan kepada penononton selama ini, justeru tidak hairanlah jika ia menjadi sebutan ramai.

Ditayangkan di 55 pawagam seluruh negara bermula 26 Julai tahun lalu, ia juga mencatat sejarah apabila berjaya menembusi pasaran United Kingdom menerusi tayangan selama dua minggu.

Bukan hanya CINEFEST 2019, filem ini juga berjaya mendapat pelbagai pengiktirafan di dalam festival filem di peringkat nasional dan antarabangsa dengan kejayaan tersendiri.

Antaranya Malaysia Book of Records (Kutipan Pecah Panggung Filem India Yang Tertinggi di Malaysia), Cinema Worldfest Awards (Musical Comedy), Calcutta International Cult Film Festival (Pengarah Filem Wanita Terbaik).

Juga South Film & Arts Academy Festival (Penyunting Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik), Accolade Global Film Competition (Anugerah Kecemerlangan) dan Barcelona Planet Film Festival (Lakon Layar Terbaik).

Vimala1

Ketika bercakap dengan MalaysiaGazette baru-baru ini, Vimala melahirkan rasa gembira dengan setiap pengiktirafan yang telah diberikan kepada filem ini dengan begitu banyak sekali.

“Kami sebenarnya sangat bangga dengan semua pengiktirafan, ini bukan kebanggaan orang perseorangan, sebaliknya untuk setiap rakyat Malaysia. Sokongan anda yang tidak berbelah bahagi ini sebenarnya pendorong utama untuk kami sampai ke tahap ini.

“Anugerah seperti ini bukan sekadar ‘show off’, sebaliknya mencerminkan komitmen kita yang berterusan menghasilkan karya bermutu tinggi sehingga ke peringkat antarabangsa. Nama negara harum di peringkat dunia bermakna ianya kebanggaan yang kita kongsi dengan semua.

“Itu adalah pegangan utama kami, prinsip serta moto kami terutamanya saya dan suami, Denes. Kerana itu, kami tidak berhenti, sebaliknya berterusan mencari idea terbaik bukan hanya sekadar hiburan sebaliknya mesej cukup jelas selain daripada menonjolkan elemen kebudayaan, kesenian dan sebagainya,” kata Vimala.

Shaila

Sepintas lalu, CINEFEST MALAYSIA ditubuhkan untuk memberi pengiktirafan kepada ramai artis tempatan yang berbakat dan menyumbang kepada kemajuan filem tempatan dalam tempoh tiga tahun iaitu dari 2016 hingga 2018.

Sebanyak 31 anugerah telah dianugerahkan bagi meghargai usaha artis-artis di Malaysia untuk menghasilkan filem yang baik serta menarik perhatian para penonton menerusi acara khas di Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu. –MalaysiaGazette

Antara anugerah lain diterima Vedigundu Pasangge di peringkat nasional adalah seperti berikut:

YASI AWARD (Yayasan Artis India Malaysia)

Filem Box Office 2018

Pengarah Terbaik (Dr. Vimala Perumal)

Pelakon Wanita Terbaik (Sangeeta Krishnasamy)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Kuben Mahadevan)

 

MINDRAA ICON AWARD

Anugerah Khas Juri – Kolaborasi Antarabangsa

Video Muzik Terbaik (#LoveMood)

PAIIM (Pertubuhan Artis-Artis India Malaysia) Cawangan Johor

Anugerah Khas – Kutipan Pecah Panggung Filem India Yang Tertinggi di Malaysia