Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada lawatan kerja di Ibu Pejabat Penjara Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Keputusan kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) disifatkan sebagai langkah tepat untuk memulih serta memperkukuh ekonomi negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan EAC mampu memastikan isu berkaitan dapat diberi perhatian agar rakyat dapat melihat setiap usaha yang dilakukan kerajaan.

“Ini adalah langkah ke hadapan untuk melihat isu ekonomi negara dalam konteks lebih besar supaya setiap isu yang dibangkit diberi tumpuan yang lebih mendalam.

“Apa yang lebih penting rakyat dapat melihat dan merasai perubahan yang berlaku,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini.

Beliau menafikan dakwaan kononnya penubuhan majlis itu disebabkan anggota Kabinet sedia ada tidak memadai menangani isu berkaitan ekonomi.

Ia berikutan tulisan terbaharu dientri pada laman blog Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin apabila mengatakan penubuhan EAC itu mempunyai matlamat tersurat dan tersirat.

“Dakwaan Penasihat Media kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin tidak benar.

“Kabinet masih berfungsi seperti biasa. Saya sendiri yang bawa cadangan supaya majlis itu ditubuhkan ketika mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Penubuhan majlis ini adalah kombinasi sektor swasta dan kerajaan untuk membantu memulihkan ekonomi negara. Ini bukan pertama kali majlis seumpama ditubuhkan,” kata Muhyiddin.

Sementara itu, beliau menyangkal dakwaan kononnya kerajaan PH mengabaikan kepentingan dan hak orang Melayu serta Bumiputera.

Tegasnya, dakwaan itu berniat jahat kerana hak orang Melayu serta Bumiputera sudah termaktub dan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pelbagai tohmahan dan cercaan kepada kerajaan kononnya kita mengabaikan hak orang Melayu dan Bumiputera. Tohmahan itu tidak benar.

“Dalam keanggotaan Kabinet pun, menteri Melayu melebihi daripada yang bukan Melayu. Jika ada bukti kononnya kerajaan mengabaikan hak orang Melayu dan Bumiputera, sila beritahu saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Majlis Tindakan Ekonomi tidak ada kena mengena dengan prestasi menteri

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/12/majlis-tindakan-ekonomi-vs-prestasi-menteri-a-kadir-jasin/