Dua lelaki warga asing dipercayai anggota sindiket penculikan warga asing mati ditembak polis dalam satu kejadian tembak menembak di Taman Mudun, Batu 9, Cheras awal pagi ini.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga asing dipercayai anggota sindiket penculikan warga asing mati ditembak polis dalam satu kejadian tembak menembak di Taman Mudun, Batu 9, Cheras awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata kejadian pada pukul 1.35 pagi itu melibatkan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur semas membuat serbuan ke atas rumah selepas menerima maklumat berhubung kes penculikan seorang warga asing.

“Suspek-suspek yang ditumpas dipercayai sindiket penculikan warga asing yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Selain itu, seorang mangsa culik warganegara Bangladesh berusia 30an telah diselamatkan. Lelaki itu diculik pada Jumaat lepas di sekitar Sentul.

“Pemeriksaan ke atas dua suspek itu tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri. Polis turut menemui pistol 9mm dan parang yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Seorang suspek yang ditembak mati dipercayai dalang utama kumpulan terbabit. Polis kini dalam proses mengenal pasti identiti kedua-dua suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA