Penasihat Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Tajarul Yusmi Mohd Yusup (duduk, tengah) bersama Presiden PPBPSM, Steven Chong (duduk, dua kanan) dan Naib Presiden PPBPSM, Mohd Rofiq Mohd Yusoff (duduk, dua kiri) serta sebahagian kesatuan pengusaha bas menunjukkan memorandum selepas sidang media mengenai isu pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Fraser Business Park, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR –  Kira-kira 30 peratus pengusaha bas untuk seluruh Semenanjung Malaysia terjejas semenjak September lalu akibat tidak dapat memperbaharui permit. 

Penasihat Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia, Tajarul Yusmi Mohd Yusop berkata, ia berpunca daripada kelewatan proses pembaharuan permit sejak peralihan kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ke Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). 

Malah katanya, ada pengusaha yang terpaksa guling tikar kerana tidak lagi boleh beroperasi.

“Yang terjejas akibat kelewatan memperbaharui permit bas adalah bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah, bas catar (sewa) dan bas pekerja. 

“Sehingga kini, ada yang tidak dapat beroperasi secara sempurna kerana (masalah) ini,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Bas Ekspress Semenanjung Malaysia pada sidang media hari ini.

Jelas Tajarul Yusmi, walaupun memorandum telah dihantar ke Kementerian Pengangkutan pada Ogos lalu iaitu semasa peringkat awal ‘peralihan’ SPAD kepada APAD namun sehingga kini tiada respon diterima.

Secara rasmi urusan SPAD dipindahkan kepada APAD pada Jun tahun lalu. 

Presiden Gabungan Bas Catar dan Bas Sekolah Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusoff pula menegaskan, sungguh pun persatuan bas akur dengan peralihan namun tidak seharusnya mereka menjadi mangsa terhadap birokirasi yang berlaku.

“Kita akur SPAD dibubar diganti APAD kami industri ini boleh terima dari segi kelewatan tapi adalah pihak lain boleh terima kalau kami memulakan perniagaan tanpa kelulusan.

“Misalnya pergerakan bas perlu lesen yang diperbaharui kebanyakan masih lagi dalam proses. Kami musykil kenapa proses ini mengambil masa begitu lama ada yang sebulan dua tidak dapat lagi kalau permohonan lesen, kami faham ini pembaharuan ,” katanya.

Jika dulu sewaktu, kata Mohd Rofik, urusan permit bas masih dikendalikan oleh SPAD, paling lama tempoh pembaharuan permit hanya seminggu hingga tiga minggu berbanding APAD kini mengambil masa berbulan-bulan. 

“Tiga hari bawah SPAD, bas persiaran seminggu perbaharui permit dapat sudah kalau tak ada kes dan senarai hitam tidak ada perubahan penumpang dan kenderaan tiga minggu paling (paling lama),” tambahnya. 

Kelewatan memperbaharui lesen turut mengakibatkan cukai jalan juga tidak dapat diperbaharui sekaligus menghalang operasi bas yang dalam masa sama terpaksa menanggung hutang. 

“Kronologinya begini, kalau kami tak dapat perbaharui permit bas road tax (cukai jalan) pun tak dapat dibaharukan, insurans pun, tidak boleh beroperasi. Kami masih kena bayar bulanan bas kalau masih ada hutang bank, gaji pemandu pun masih kena bayar,” ujarnya lagi. 

Justeru, keseluruhan barisan pimpinan persatuan bas persiaran menggesa agar Kementerian  Pengangkutan memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi. – MalaysiaGazette