Ketua Pegawai Eksekutif Lendlease Asia, Tony Lombardo (kanan) bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran The Exchange, TRX di Hotel The Ritz Carlton, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Syarikat Australia, Lendlease Group mengesahkan pelaburan mereka di dalam membangunkan projek The Exchange TRX tidak sedikit pun terjejas akibat skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Ketua Pegawai Eksekutif Lendlease Asia, Tony Lombardo berkata, sejak awal lagi syarikat pemaju dan pengurusan hartanah itu berurusan dengan Kementerian Kewangan dan bukannya 1MDB.

“Sebahagian projek ini adalah milik Kementerian Kewangan dan urusniaga yang kami meterai adalah dengan Kementerian Kewangan dan bukannya 1MDB.

“Bagi Lendlease kami hanya berurusan dengan kerajaan sejak 2013 lagi dan menikmati urustadbir yang baik malah kami juga membuat pernilaian terperinci mengenai projek ini, kami boleh menerima risiko projek ini dan kami gembira dengan syarat-syarat yang telah dirundingkan bersama Kementerian Kewangan ketika itu.

“Jika anda tanya mengenai keyakinan pelabur antarabangsa terhadap TRX, saya boleh katakan apabila HSBC membuat keputusan untuk memindahkan ibu pejabatnya di sini, saya fikir itu telah menunjukkan satu keyakinan yang besar,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran The Exchange TRX dan pemeteraian perjanjian pembiayaan bernilai RM2.5 bilion bersama empat bank utama di sini hari ini.

The Exchange TRX sebelum ini dikenali sebagai Lifestyle Quarter adalah projek kerjasama di antara Lendlease dengan anak syarikat milik Kementerian Kewangan, TRX City Sdn. Bhd. bakal menjadi titik fokus kepada pembangunan berkelas dunia di daerah kewangan TRX yang berkeluasan 70 ekar.

The Exchange TRXs adalah pembangunan hartanah bercampur seluas 17 ekar merangkumi hotel, ruang pejabat gred A, pangsapuri, ruang runcit dan hiburan yang dihiasi oleh sebuah taman bandar berkeluasan 10 ekar.

Menyentuh mengenai kemudahaan pembiayaan yang disediakan oleh HSBC, Standard Chartered Bank, Sumitomo Mitsui Banking Corporation dan Maybank bernilai RM2.15 bilion untuk tempoh lima tahun, Tony berkata, ia adalah satu struktur kewangan yang unik bagi satu aset yang rumit.

“Kami tidak mendapat jaminan kerajaan bagi pembiayaan tersebut tetapi kami mempunyai aset dan aliran tunai yang baik,” tambahnya lagi.

Projek yang juga dikenali sebagai presint gaya hidup itu dibina dengan nilan pembangunan kasar (GDV) RM9 bilion.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast