Menteri Kewangan,Lim Guan Eng bersalaman dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (tiga kanan) dan Menteri Pendidikan, Yb Dr. Maszlee Malik (tengah) pada Majlis Penyerahan Cek kepada Sekolah Tahfiz Yang Berdaftar di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan hari ini menyerahkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof untuk digunakan bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah tahfiz berdaftar di negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penyerahan peruntukan tersebut adalah susulan pengumuman ketika pembentangan Bajet 2019 pada 2 November lalu.

Menurut, kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) komited memberi bantuan kepada semua jenis sekolah secara inklusif supaya kebajikan dan hal ehwal semua pelajar terus terpelihara.

“Kerajaan akan menyalurkan dana kepada sekolah-sekolah tahfiz dengan syarat ia berdaftar dan tidak dimiliki oleh parti politik selaras dengan matlamat kerajaan untuk memisahkan pendidikan daripada pengaruh parti politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan cek di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, peruntukan bajet yang diberikan ke sekolah-sekolah merangkumi semua jenis sekolah, bukan sahaja melibatkan sekolah Cina tetapi termasuk juga sekolah kebangsaan, sekolah pondok, tahfiz dan sekolah berasrama.

Jelas beliau, tafsiran salah yang mengatakan bahawa hanya sekolah tertentu yang mendapat peruntukan adalah tidak benar.

“Kita cuba jaga semua dan hari ini adalah manifestasi bahawa kerajaan menjaga semua sekolah. Hari ni kita beri RM50 juta dan sebelum ini RM25 juta menjadikannya RM75 juta.

“Esok kita akan sampaikan kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagi peruntukan sekolah persendirian agama dan sekolah rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette