Kerajaan perlu meminda Perlembagaan untuk menghalang aktiviti lompat parti kerana Perlembagaan menyatakan kebebasan untuk memilih parti.

PUTRAJAYA – Kerajaan berhasrat untuk menggubal undang-undang bagi menghalang aktiviti lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.

Penggubalan undang-undang itu bertujuan mengekang tindakan lompat parti tidak sihat yang dilihat sebagai bertentangan dengan pilihan yang dibuat rakyat semasa pilihan raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata, kerajaan bagaimanapun perlu meminda Perlembagaan untuk menghalang aktiviti lompat parti kerana Perlembagaan menyatakan kebebasan untuk memilih parti.

Beliau berkata, penggubalan undang-undang itu bertujuan memastikan keputusan dan pilihan rakyat tidak dikhianati.

Katanya lagi kepada Sinchew Daily, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri sedang mendraf rang undang-undang yang bertujuan menghalang aktiviti lompat parti.

“Saya telah mengkaji sistem Parlimen di India, di mana kekosongan kerusi akan diumumkan jika seseorang wakil rakyat yang terpilih tidak lagi menjadi ahli parti yang diwakilinya semasa pilihan raya.

“Jika kami mahu lakukan perkara yang sama di Malaysia, maka Perlembagaan kita perlu dipinda,” katanya.

Beliau menjelaskan, memandangkan Perlembagaan memperuntukkan hak memilih parti, maka usaha mengekang lompat parti adalah melanggar Perlembagaan pada masa ini.

Vui Keong berpendapat, walaupun semua orang mempunyai kebebasan memilih parti, tetapi wakil rakyat harus dihalang melompat parti kerana tindakan itu mengkhianati pengundi.

“Mungkin ada orang yang akan mengkritik kerajaan sebagai tidak demokrasi kerana menghalang mereka menyertai satu-satu parti politik.

” Tetapi, pengundi pada masa yang sama akan berasa dikhianati jika wakil rakyat asyik berpolitik sehingga mengabaikan soal pembangunan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: 7 Lagi Ahli Parlimen Lompat Parti ke PPBM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast