Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim

SHAH ALAM – Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu selama tiga tahun berkuat kuasa esok hingga 14 Feb 2022.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pelantikan Mohd Azraai diumum oleh Kementerian Pendidikan hari ini adalah bagi mengambil alih tugas Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said, yang memegang jawatan tersebut sejak Feb 2016 hingga Januari lepas.

“Saya mengambil kesempatan ini mewakili seluruh warga UiTM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Prof Emeritus Datuk Dr Hassan yang selama tiga tahun ini telah memegang dan memimpin tampuk UiTM dengan penuh dedikasi, setia, disiplin, komited serta jayanya sebagai naib canselor.

“Beliau sememangnya seorang pemimpin yang berkredibiliti dalam memajukan dan memperkasa agenda bangsa tanpa kenal erti putus asa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Beliau berkata seluruh warga UiTM juga amat berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Mohd Azraai sebagai naib canselor baharu.

Beliau turut mengharapkan dengan pelantikan baharu itu, visi serta misi UiTM untuk menjadi sebuah universiti unggul yang cemerlang serta menerajui dinamisme Bumiputera dalam semua bidang profesional di Malaysia dan antarabangsa akan terus diperkasakan.

Mohd Azraai memiliki kelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar dari University of Newcastle selain Sarjana Sains Kejuruteraan Kesihatan Awam serta Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom.

Beliau juga telah berkhidmat dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak tahun 1983 dan memegang pelbagai jawatan di Fakulti Kejuruteraan Awam termasuk jawatan kanan universiti berkenaan antaranya sebagai Timbalan Naib Canselor (Pembangunan); Dekan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE); Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UTM SPACE mulai 1 Februari 2015 sehingga kini.

Selain kerjaya akademik yang cemerlang, Mohd Azraai juga merupakan ahli kepada beberapa badan profesional seperti Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (MySET); Persatuan Air Antarabangsa (IWA) United Kingdom dan Persatuan Penyelidikan dan Pengurusan Alam Sekitar Malaysia (ENSEARCH).

Beliau, yang juga merupakan Felo Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM), turut menjadi ahli Pendaftaran Profesional Alam Sekitar Malaysia (EPRM); Jurutera Profesional Berdaftar Lembaga Jurutera Malaysia (BEM); Jurutera Profesional Berkanun ASEAN (ACPE) dan ahli Kelab Alumni Sekolah Perniagaan Harvard Malaysia.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast