Datuk Marzuki Yahya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2018.
Marzuki Yahya

GEORGETOWN – Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan petisyen pilihan raya Parlimen Tasek Gelugor yang difailkan oleh calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kawasan berkenaan.

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan kedua-dua pihak, Marzuki selaku pempetisyen dan responden, ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya ketika pengurusan kes di dalam kamarnya di sini.

Dalam kenyataan bersama mereka di luar mahkamah, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Azlina Mehtab Mohd Rauf yang mewakili Marzuki serta Simon Tan yang mewakili Shabudin, berkata, kedua-dua pihak bersetuju dan sependapat agar petisyen dibatalkan.

“Ia juga mengambil kira beberapa situasi yang berlaku dan memandangkan dari segi teknikal, kami berdua mempercayai bahawa ianya adalah lebih bermanfaat untuk dibatalkan atas alasan kami tidak mahu membazir masa mahkamah,” kata Muhammad Rafique kepada pemberita.

Susulan itu katanya, mahkamah membuat keputusan untuk membatalkan petisyen tersebut dan kes selesai hari ini.

Marzuki selaku Pengerusi PPBM Pulau Pinang memfailkan petisyen pada 12 Jun tahu lalu sebagai mencabar kemenangan tipis majoriti 81 undi oleh Shabudin pada PRU lalu selain menuntut pilihan raya kecil di kerusi itu sekaligus pengiraan semula 689 undi rosak serta 297 undi pos yang tidak dikembalikan.

Mahkamah Pilihan Raya pada 18 September lalu pula menolak petisyen Marzuki selepas didakwa mempunyai kecacatan, namun petisyen itu dibenarkan Mahkamah Persekutuan pada 28 November lalu supaya dibawa semula ke Mahkamah Pilihan Raya Pulau Pinang untuk pendengaran penuh.

Pada saingan tiga penjuru di Parlimen Tasek Gelugor itu, Shabudin memperolehi 18,547 undi diikuti Marzuki (18, 466 undi) dan calon Pas Rizal Hafiz Ruslan pula memperolehi 14, 891 undi.

Bagaimanapun pada 12 Februari lepas, Shabudin bersama enam lagi ahli Parlimen UMNO disahkan sebagai ahli PPBM oleh Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi parti itu setelah menerima permohonan keahlian mereka Disember 2018 yang mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk PH.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast