Khairul Azam Abdul Aziz
Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diberikan notis 14 hari bermula 18 Februari ini untuk memberi maklum balas terhadap status penubuhan Parti Pribumi Perkasa Malaysia (PUTRA).

Ketua Penerangan penajanya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, sejak permohonan itu dihantar sejak enam bulan lalu, pihaknya masih tidak mendapat sebarang jawapan daripada menteri terbabit.

“Pada Isnin, kami akan menghantar satu notis khas memberi tempoh 14 hari kepada Menteri Dalam Negeri untuk membuat keputusan sama ada untuk meluluskan atau tidak meluluskan penubuhan parti PUTRA.

“Sekarang terpulang kepada Menteri Dalam Negeri kerana hak menubuhkan parti politik ini adalah hak mana-mana warganegara yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Putra
Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berbual mesra dengan Timbalan Presiden penaja Putra, Tan Sri Khalid Yunos (kanan) pada sidang media mengenai penubuhan Putra di Wisma KGMB, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2019

Hadir sama Presiden penaja PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali dan Timbalan Presiden penajanya, Tan Sri Khalid Yunos.

Pada 13 Ogos 2018, Presiden penaja PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali telah menghantar borang permohonan pendaftaran parti baharu untuk orang Melayu dan Bumiputera itu.

Namun sehingga kini, hanya Perlembagaan PUTRA sahaja mendapat kelulusan itu daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pad 27 November 2018.

Mohd Khairul Azam juga berkata, sekiranya Muhyiddin masih enggan memberi sebarang maklum balas selepas tempoh itu berakhir, pihaknya akan memfailkan perkara itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memohon semakan kehakiman.

“Sekiranya tamat tempoh 14 hari berkenaan, Menteri Dalam Negeri tidak meluluskan atau enggan memberi sebarang maklum balas, kami akan memfailkan satu semakan kehakiman atas kegagalan itu,” katanya.

Mohd Khairul Azam berkata lagi, ketiadaan status permohonan itu telah menimbulkan pelbagai persoalan sedangkan pihaknya sudah memenuhi semua syarat ditetapkan oleh RoS dan Kementerian Dalam Negeri.

“Tiada sebab untuk Menteri Dalam Negeri menolak permohonan kita untuk menubuhkan parti politik ini kerana syarat kita dah lepas.

“Kesemua penaja PUTRA telah melepasi tapisan insolvensi dan keselamatan daripada pihak Bukit Aman.

“Disebabkan kedua-dua syarat ini, Perlembagaan PUTRA ini telah diluluskan oleh ketua pengarah RoS sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, permohonan penubuhan PUTRA tidak sewajarnya berlarutan begitu lama malah ia melebihi tempoh sebulan seperti mana ditetapkan oleh Prosedur Operasi Standard jabatan kerajaan itu.

“Jadi tiada sebab lain untuk Menteri Dalam Negeri untuk menubuhkan parti PUTRA ini melainkan ia dibuat dengan malfide ataupun niat jahat.

“Untuk membolehkan mendaftarkan penubuhan paerti PUTRA ini, jika tak dapat kebenaran khas Menteri Dalam Negeri kita akan minta Hakim Mahkamah Tinggi untuk melakukannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast