KUALA LUMPUR – Datuk Osman Sapian menunjukkan sifat terpuji apabila mengakui tidak menamatkan pengajiannya di universiti.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang memuji sikap Menteri Besar Johor itu berkata, tidak ramai dalam kalangan individu berani mengaku seperti yang ditunjukan oleh Osman.
“Saya memuji tindakan Datuk Osman Sapian bukan hanya untuk keberanian mengakui tidak menamatkan pengajian, tetapi lenih penting keberaniannya memohon maaf berhubung isu ini.
“Salah satu sifat utama seorang pemimpin untuk berdepan dengan kebenaran mengakui kesalahan dan meminta maaf sekiranya perlu.
“Sejujurnya, berapa ramai yang melakukannya? Oleh itu, ini adalah sesuatu yang paling terpuji,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
ADUN Bukit Batu itu turut menyatakan keyakinan dirinya terhadap kepimpinan Osman selepas melihat kejujuran yang ditunjukkan itu.
Osman antara pemimpin Pakatan Harapan yang terpalit dengan isu kelayakan akademik selepas profailnya mendakwa beliau memiliki ijazah dan diploma perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia.
Perkara itu mencetuskan kemusykilan kerana UPM tidak pernah menawarkan kursus diploma perakaunan dan peringkat ijazah bagi kursus itu ditawarkan bermula pada tahun 1985.
Bagaimanapun, baru-baru ini Osman mengesahkan beliau pernah mengikuti pengajian di universiti berkenaan dan tidak menamatkan pengajiannya itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/15/maklumat-pendidikan-di-luar-pengetahuan-saya-kata-mb-johor/