Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mendakwa dikasari dan diugut blogger kontroversi Papagomo, membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, di sini hari ini.

PETALING JAYA  – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mendakwa dikasari dan diugut blogger kontroversi Papagomo, membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau tidak mengetahui punca blogger berkenaan bertindak sedemikan dalam kejadian yang berlaku di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang, hari ini.

“Saya tidak tahu apa niat Papagomo yang tiba-tiba mencekak bahagian belakang leher saya dengan kuat ketika saya bersama tiga lagi rakan hendak meninggalkan pusat penamaan calon PRK Semenyih,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis pada 2 petang tadi.

Syed Saddiq mendakwa Papagomo atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris turut meminta beliau meninggalkan pusat penamaan calon berkenaan.

“Dia (Papagomo) cuba ugut saya supaya jangan cari pasal dan berpesan agar tidak datang ke sana lagi (Pusat Penamaan Calon PRK Semenyih). Saya tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya terus jalan ke depan dibantu beberapa anggota polis manakala Unit Amal PAS menarik Papagomo dan meleraikan kumpulan pembangkang berkenaan,” katanya.

Syed Saddiq yang merupakan Anggota Parlimen Muar berkata beliau kemudian terus meluru masuk ke dalam kereta dan meninggalkan pusat penamaan calon itu.

Hari ini, tular sebuah klip video memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih.

Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi oleh anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar sekumpulan lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh Syed Saddiq.

“Pihak saya terima laporan kes berkenaan pada 2.30 petang dan kes berkenaan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata polis menerima dua laporan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata satu laporan dibuat oleh anggota polis yang melindungi Syed Saddiq di Balai Polis Kajang pada 1.20 tengah hari tadi manakala laporan kedua buat oleh menteri itu.

“Polis yang berjaya membuat kawalan telah mengiring Syed Saddiq sehingga ke keretanya dan beredar dengan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis masih dalam proses merakam percakapan saksi-saksi sebelum mengklasifikasikan siasatan dan tindakan selanjutnya.

— BERNAMA

Artikel berkaitan:

Syed Saddiq sengaja buat provokasi?

Polis akan siasat dakwaan Syed Saddiq diserang penyokong BN

Sikit-sikit jadi mangsa plaster, Syed Saddiq anda kena tough la, kata Shahril Sufian