Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun. foto HAZROL ZAINAL, 22 JANUARI 2019.

KAJANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sasaran 70 peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, beliau optimis sasaran itu boleh dicapai walaupun beberapa PRK sebelum ini sekadar merekodkan mereka yang keluar mengundi kurang daripada 69 peratus.

“Kami harap sasaran kali ini bukan sekadar 70 peratus tetapi lebih daripada peratusan yang disasarkan itu.

“Ini kerana kedudukan geografi penduduk dan aspek dinamik di DUN ini membuka peluang dan meyakinkan sasaran itu mampu diperoleh SPR kali ini,” ujarnya dalam sidang media selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Taman Saujana Impian pagi tadi.

PRK kali ini menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali berdepan calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi, calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas, Kuan Chee Heng yang popular dengan jolokan ‘Uncle Potato’.

Sementara itu, Azhar memberitahu, seramai 134 pemerhati telah dilantik untuk memantau proses perjalanan PRK ini yang mana seramai 20 orang mewakili Malaysian Corruption Watch (MCW), Bersih 2.0, Suara India Malaysia, Kelab Pemikir Politik Nasional dan Institut Darul Ehsan.

Katanya, SPR juga telah menambah 31 saluran undi baharu di pusat mengundi yang ramai pengundi sekaligus menyaksikan jumlahnya meningkat kepada 119 saluran.

“Kita juga menubuhkan emoat pasukan penguatkuasa PRK untuk memantau segala kempen setiap calon dan parti politik supaya memathui peratusan Pilihan Raya 1954 sehingga 11.59 malam pada 1 Mac ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette