Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

PUCHONG — Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah akan mengetuai kumpulan pegawai Malaysia dalam semakan semula harga air mentah yang dijual kepada negara jiran, Singapura, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tanpa mendedahkan butiran terperinci bila rundingan berkenaan itu akan dilakukan, Perdana Menteri berkata kumpulan pegawai yang berunding itu ‘sedang mengusahakannya’ dan ia turut dianggotai pegawai-pegawai berkaitan dari Johor.

“Kita berpendapat bahawa harga 3 sen untuk 1,000 gelen air itu ditentukan pada tahun 1926. Pada masa itu, nilai wang 1 sen boleh beli banyak barang, tetapi waktu sekarang wang 1 sen tak boleh beli apa-apa, 3 sen pun tak boleh beli apa-apa.

“Sepatutnya harga sesuatu barang itu hendaklah ikut keadaan semasa. Hari ini kita bukan cakap pasal millionaire, tetapi pasal billionaire kerana pendapatan meningkat terlalu tinggi. Jadi kalau nak kira harga yang ditentukan pada 1926 itu masih kekal sehingga tahun 3000 Another millenial Adakah munasabah, saya rasa tidak munasabah. Sampai bila…” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Komuniti Negara di sini, hari ini.

Isu berkaitan perjanjian itu muncul kembali pada pertengahan tahun lepas apabila Dr Mahathir mengkritik harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebagai “tidak masuk akal” dan berkata beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian itu.

Perjanjian air itu, yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mendapatkan sehingga 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor.

Singapura membayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah, dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. Johor memperoleh bekalan harian air terawat sehingga 2.0 peratus atau 5.0 mgd air yang dibekalkan kepada republik itu.

— BERNAMA