Badan Peguam Malaysia akan terus menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan secara berterusan undang-undang yang menindas, kata presidennya George Varughese.

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam sekali lagi menggesa kerajaan menubuhkan Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku hakim-hakim mahkamah rayuan dan persekutuan.

Siasatan menyeluruh menerusi RCI perlu disegerakan susulan penemuan meragukan hasil siasatan dalaman Badan Kehakiman terhadap beberapa dakwaan yang dibuat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Presiden Majlis Peguam, George Varughese berkata, sejak sekian lama badan itu bertegas dalam menuntut supaya kebebasan badan kehakiman dilindungi.

“Pentadbiran sebenar Badan Kehakiman sepatutnya mempunyai kebebasan mutlak dan dipercayai sepenuhnya dan individu hakim yang tidak berintegriti dan tidak adil, tidak perlu dipertahankan. Ia diumpamakan disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Varughese mengulas mengenai dakwaan Hamid Sultan bahawa ada anggota Badan Kehakiman bersubahat dengan individu tertentu untuk menipu kerajaan.

Kenyataan itu dibuat selepas Hamid Sultan membuat tuduhan bahawa terdapatnya campur tangan dalam kes-kes mahkamah termasuk kes mendiang Karpal yang didakwa atas tuduhan menghasut.

Tuduhan terhadap badan kehakiman negara dinyatakan dalam afidavit sokongan setebal 65 muka surat yang diikrar oleh peguam Sangeet Kaur Deo, yang merupakan anak Karpal Singh.

Pada 14 Januari lalu, Sangeet yang juga peguam memfailkan saman itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang bapanya dan juga kes guru tadika M. Indira Ghandi.

Kumpulan peguam bebas juga mendakwa telah mengumpul bukti campur tangan beberapa hakim mahkamah rendah dalam beberapa isu sensitif membabitkan politik.

Malah, Ketua Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah membuat laporan polis berhuhung pertuduhan yang dibuat dalam afidavit terhadap nama hakim dan penghakiman.

Sehubungan itu, beliau Badan Kehakiman perlu memberikan sokongan penuh terhadap cadangan penubuhan RCI.

“Semua tuduhan yang teruk ini menjatuhkan keseluruhan integriti beberapa hakim menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kehakiman yang sukar dan mungkin tidak dapat diperbaiki,” katanya.

Varughese turut menegaskan bahawa Majlis Peguam berdiam diri berhubung tuduhan Hamid Sultan adalah tidak berasas.

Menurut beliau, pada 20 Ogos, Majlis Peguam telah menggesa penubuhan RCI sejurus selepas pendedahan Hamid Sultan pada sidang undang-undang bahawa dia telah ditegur dengan tegas oleh “hakim tertinggi” atas penghakimannya yang menentang dalam kes Indira Gandhi yang membabitkan penukaran agama tiga orang kanak-kanak.

“Kami menyeru penubuhan segera RCI untuk menyiasat dakwaan salah laku perundangan yang serius ini dan mencadangkan pembaharuan holistik untuk memperbaiki dan memperkukuhkan badan kehakiman,” katanya sambil memberitahu gesaan itu dibuat pada bulan November dan bulan lalu semasa majlis Tahun Baharu Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu.

Varughese menjawab dakwaan Sangeet bahawa Majlis Peguam tidak mengambil berat tentang perkara tersebut.

Varughese berkata, Majlis Peguam sedang mempertimbangkan peranan yang sesuai untuk dipertimbangkan dalam prosiding undang-undang yang akan datang yang dimulakan oleh Sangeet.

“Kami tidak akan berdiam diri dalam sebarang amalan yang tidak beretika atau menyalahi undang-undang oleh ahli-ahli kehakiman,” ujarnya. – MalaysiaGazette