Tengku Asmawi Tuan Umar
Tengku Asmawi Tuan Umar

KUALA LUMPUR – Tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mewartakan tempat letak kereta berbayar di beberapa lokasi di Jalan Nirwana telah menimbulkan keresahan penduduk.

Ini kerana kawasan di Jalan 1, 2, 35 dan 37 di Jalan Nirwana digunakan oleh penduduk tetap dan bukan penyewa.

Mereka terpaksa meletakkan kenderaan di jalan-jalan berkenaan kerana kawasan perumahan tidak mempunyai kawasan pakir yang mencukupi.

Maka, tindakan MPAJ mewartakan jalan-jalan tersebut sebagai tempat letak kereta berbayar dilihat satu ketidakadilan.

Ia seolah-olah mengambil kesempatan dalam kesusahan, kata Tuan Asmawi Tuan Umar, Penasihat Agama dan
Media, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dalam situasi ekonomi yang mencabar, tindakan mewartakan tempat parkir membebankan penduduk.

Malah, tindakan pewartaan dan penguatkuasaan itu juga dilihat tidak sejajar dengan hasrat kerajaan Malaysia Baharu yang dikatakan cuba untuk memberikan keselesaan dan ruang kepada rakyat ‘bernafas’ di tengah-tengah kemelut ekonomi untuk menanggung kos tersebut.

Ia sekaligus boleh dikatakan sabotaj kepada pihak kerajaan dalam diam terhadap usaha yang bakal mengundang kemarahan rakyat.

Sehubungan itu, PPIM memohon campur tangan pihak Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Hal yang sama juga akan turut diperpanjangkan kepada pihak Menteri Besar Selangor dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ,Timbalan Perdana Menteri dan Tun Dr. Mahathir Mohamad Perdana Menteri Malaysia.

Tambahnya, semua pihak diseru mencari alternatif serta jalan keluar untuk tidak membebani rakyat dengan pelbagai jenis cukai baharu yang mampu mengaut keuntungan jangka panjang. – MalaysiaGazette