Datuk Seri Anwar Ibrahim
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto HAZROL ZAINAL, 24 JANUARI 2019.

SHAH ALAM – Pas cuba mengalihkan perhatian umum terhadap salah lakunya berhubung penerimaan dana RM90 juta daripada UMNO dengan menimbulkan isu kononnya wujud pembelotan dalam Pakatan Harapan (PH) terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu tersebut tidak timbul malah ia tidak pernah dibangkitkan dalam Majlis Presiden PH sambil menyifatkan tindakan Pas sebagai ketandusan modal politik.

“Saya tak layan kerana ada hubungan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahahtir Mohamad dan perkara ini tak pernah dibangkitkan oleh parti-parti dalam PH.

“Ini hanya naratif Pas untuk elak daripada siasatan RM90 juta. Pas cuba untuk mengalihkan fokus kepada duit yang diambil daripada 1MDB.

“Pas sendiri kata boleh berbohong untuk selamatkan parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap pada Syarahan Darul Ehsan di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi serta Naib Cancelor UNISEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan semalam mendakwa dua parti komponen PH mungkin merancang untuk menyingkirkan Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Takiyuddin mendakwa, partinya merasakan ada yang tidak kena dengan cara Dr Mahathir bercakap tentang sekutunya dalam PH.

Oleh kerana itu, Pas berikrar memberi sokongan kepada Dr Mahathir ketika pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lalu.

Khamis lalu, sebelum pertemuan itu, Dr Mahathir mendedahkan bahawa Pas tidak akan membantu Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih kali ini.

Dr Mahathir turut mendedahkan pengakuan itu dibuat secara bertulis serta ditandatangani oleh Takiyuddin mengenai persetujuan tidak menyokong BN dan UMNO.

Anwar juga berkata, isu pembelotan itu tidak timbul dan ia tidak perlu dibimbangi oleh PKR dan tiada keperluan ia dibawa kepada Dr Mahathir untuk dibincangkan.

“Tak bangkit langsung, tiada perbincangan dalaman, tak bangkit langsung, ini Pas apa lagi modal dia, nak elak daripada fokus rakyat kepada RM90 juta dan wajib bohong yang dibicarakan oleh mereka.

“Kalau dia buat (surat akuan) kita tak tahu, dia (Pas) pernah sebut bohong untuk parti boleh, kita tak tahu sama ada kenyataan itu benar atau bohong.

“Saya tak fikir tiada keperluan kerana ia bukan isu melainkan PM bangkitkan isu ini dengan saya tapi saya tidak hubungi pihak terbabit dan tiada siapa akan respon kerana tiada isu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette