Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan tidak memangsakan rakyat dengan langkah penjimatan yang tidak relevan apabila mahu memperkenalkan dasar tanpa subsidi kepada pengiring jemaah haji.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ia tidak wajar dilakukan sedangkan pengiring serta perayu memenuhi syarat kuota haji tahunan serta tidak menjejaskan peruntukan subsidi.

“Pas mahu pihak Lembaga Tabung Haji (LTH) terus mengekalkan dasar lama bagi peruntukan subsidi haji. Tidak adil bagi LTH menghapuskan subsidi bagi para pengiring dan perayu kerana ia sangat membebankan.

“Jangan terus ‘memangsakan’ rakyat dengan langkah penjimatan yang tidak relevan. LTH mestilah memberi hak subsidi RM12,920 kepada pengiring dan perayu pertama kali menunaikan haji mengikut pakej muassasah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, pentadbir akaun Facebook LTH berkata, subsidi haji hanya diberikan kepada bakal jemaah yang terpilih bagi tahun semasa yang menunaikan haji buat kali pertama secara Muassasah.

Bagaimanapun bagi pengiring atau perayu yang berjaya, mereka menunaikan haji lebih awal dari tahun peruntukan dan tidak layak mendapat subsidi haji.

Nasrudin juga berkata, walaupun syarat mengerjakan ibadah mestilah berkemampuan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memperkenalkan dasar baharu itu.

“Pas akui konsep istito’ah (kemampuan) bagi bakal haji seperti mana yang dimaksudkan, namun ia sesekali tidak boleh menjustifikasikan penghapusan subsidi yang telah diperuntukkan oleh kerajaan sejak sekian lama,” katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, kerajaan memberi jaminan jumlah bayaran subsidi bagi jemaah haji muassasah TH yang menunaikan haji kali pertama akan kekal pada RM9,980.

Katanya, meskipun berdepan pelbagai cabaran, TH berusaha menanggung subsidi lebih RM306 juta susulan peningkatan kos haji tahun ini sebanyak RM22,900 seorang berbanding RM22,450 pada musim haji lalu. – MalaysiaGazette