Shazni Munir Mohd Ithnin
Shazni Munir Ithnin

KUALA LUMPUR – Pas tidak akan terselamat daripada siasatan mengenai dakwaan menerima RM90 juta daripada UMNO walaupun parti itu menyokong kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali pun.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd. Ithnin menegaskan, Pas tetap akan disiasat walaupun sokongan politik berubah.

“Jika Pas mengharapkan dengan sokongan ini untuk terselamat dan tidak disiasat rentetan kes berkait dengan 1MDB dan audio mengundang isu keselamatan negara, hal itu sukar untuk berlaku.

“Sebagai kerajaan telus dan berintegriti, kita menyerahkan segala siasatan kepada pihak berkuasa dan sesekali tidak akan campur tangan terhadap sebarang siasatan yang telah, sedang atau yang akan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri jika berlaku pengkhianatan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Takiyuddin berkata, Pas komited dalam mempertahankan agama, negara dan bangsa dari sebarang bentuk ancaman.

Menurut Takiyuddin, bagi tujuan itu, Pas mengemukakan surat perakuan bertulis kepada Dr Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam pertemuan yang berlangsung Di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Shazni MUNIR juga menyifatkan perkembangan sokongan politik Pas itu sebagai satu pusingan U yang luar biasa.

Katanya lagi, sekiranya benar pengakuan bertulis itu berasas dan dibuat selepas perarakan Pas bersama calon Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, ia pasti akan merunsingkan rakan sekutunya.

“Usahkan pengamat politik, BN yang dimaklumi umum sebagai rakan politik Pas pasca PRU14 juga mungkin sedang pening dan hairan dengan langkah politik Pas ketika ini.

“Jika benar sokongan Pas kepada kepimpinan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi PH itu bukan bersifat ‘bohong syarie’, bermakna Pas sedang bersetuju dengan segala dasar Kerajaan PH ketika ini,” katanya.

Beliau turut berkata, sokongan Pas itu juga membuktikan segala dakwaan yang dilemparkan terhadap PH selama ini adalah helah politik semata-mata.

“Pemuda AMANAH mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pas kerana terbukti bahawa segala tohmahan yang dilemparkan pemimpin Pas kepada pentadbiran Tun M selama ini tidak betul,” katanya lagi. – MalaysiaGazette