Sebahagian penyokong Pakatan Harapah (PH) menjalankan kerja pemasangan bendera sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Pasir Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 17 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Sukar untuk Barisan Nasional (BN) tetapi pada masa yang sama tidak juga mudah untuk Pakatan Harapan (PH). Itu gambaran awal selepas dua hari berlangsungnya kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Ada penyokong PH termasuk ahli parti serta yang setia berkorban segala macam sebelum kemenangan besar luar biasa gabungan itu menumbangkan kerajaan terdahulu, dikatakan sedang ‘makan hati’

Golongan yang kecewa ini rata-ratanya dari kawasan Semenyih meluahkan rasa tidak gembira serta terkilan apabila pemilihan calon untuk bertanding kawasan itu sebenarnya dianggap berkepentingan untuk pihak tertentu.

Kata mereka kepada MalaysiaGazette, impian untuk melihat Malaysia Baharu seolah-olah berkecai apabila apa sahaja yang menjadi amalan kerajaan terdahulu kini mula dipraktis oleh pimpinan sekarang.

Malah prinsip serta perjuangan yang satu ketika dulu menjadi pegangan kini boleh dikompromi begitu sahaja.

“Kita marah dan terkilan sebenarnya kerana calon yang dipilih bukan pilihan suara masyarakat setempat, bukan juga suara akar umbi parti dari sini sebaliknya ada pihak berkepentingan membuat keputusan muktamad.

“Ini membuatkan ramai antara kami makan hati dan terasa, mengapa begini? Perjuangan kita berasaskan ketelusan, keadilan dan pastinya tidak ulang apa yang menjadi amalan kerajaan BN dulu.

“Kita macam sudah tidak ada ‘feel’ untuk berkempen sekalipun, pada kami susahlah hendak bekerjasama jika begini. Kata Malaysia Baharu, tapi nepotsime yang mereka bawa.

“Tapi sejak berkuasa, semuanya sudah lain. Suara kita juga tidak berapa didengari, pada kami ini tidak adil. Kita lebih tahu tapi kini semua tidak mahu dengar kita lagi, kami tidak pasti tentang komitmen kami lagi.

“Bukanlah kami kata BN atau UMNO itu baik, tidak. Tapi soalan kami mengapakah suara kami tidak didengari lagi seperti sebelum ini, ada ramai lagi calon berkelayakan yang tahu kehendak dan keperluan warga Semenyih, mengapa mereka disingkirkan?

“Ini pada kami bukan strategi sebaliknya ‘gila kuasa’ segelintir pihak dengan keyakinan bahawa kini kerajaan dalam tangan, maka kemenangan juga dalam tangan, tidak begitu senang sebenarnya,” kata mereka.

MalaysiaGazette juga difahamkan sekurang-kurangnya ada lima nama yang telah disampaikan kepada seorang ‘pemimpin’ tertinggi yang sepatutnya sampai ke tangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun beberapa nama itu telah tersingkir sebelum ianya sampai ke pengetahuan Muhyiddin, akhirnya nama menantu Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, Muhamad Aiman Zainal yang dimuktamadkan.

Rata-rata mereka ini merasakan Muhamad Aiman bukan sahaja mentah sebaliknya terlalu baru dalam selok belok politik apatah lagi tidak begitu fasih dengan masyarakat Semenyih ketika ini.

Mereka juga merasakan ada banyak lagi calon berwibawa malah budaya nepotisme yang begitu kuat dalam PH sepatutnya di ubah dan di cantas dari awal-awal lagi, parti bukan sendirian berhad atau milik keluarga.

Ada juga benarnya luahan mereka apabila beberapa kawasan yang sebelum ini putih kini seolah-olah sudah menjadi kelabu atau hitam terus selepas ini.

Pada mereka bukannya menyokong BN, tetapi lebih kepada niat untuk mengajar apa itu kuasa rakyat dan tidak sepatutnya memandang remeh segala macam kenyataan, janji serta tohmahan dibuat.

Malam tadi sendiri media melaporkan, rata-rata penduduk Taman Kesuma sanggup berduyun-duyun menghadiri ceramah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukannya Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari.

Apakah pula tindakan golongan senyap atau atas pagar selepas ini apatah lagi pembangkang juga sudah mula memainkan pelbagai isu khasnya perkara-perkara menyentuh janji manifesto pada PRU lepas.

Memang ada logiknya PH belum dapat melaksanakan pelbagai inisiatif terutamanya di Semenyih sendiri, Allahyarham Bakthiar pun baru menang buat kali pertama serta tempoh lapan bulan tidak cukup.

Apapun, sudah tiba masanya kepimpinan PH terutamanya Bersatu di Semenyih lihat balik dan perlu tampil membetulkan jika ada yang silap, duduk berbincang dengan pemimpin setempat kerana kuasa dan mandat akhirnya di tangan rakyat itu sendiri.

Ahli politik dan wakil rakyat hanya sekadar ‘suruhan’ kepada rakyat kerana mereka yang telah memberi anda kuasa itu, jika mereka di abaikan, mungkin penyokong setia ini akan hilang selamanya.

Dengarlah suara akar umbi, bak kata pepatah, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast