Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) diiringi Pengarah Eksekutif UN Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif (dua kanan) berswafoto dengan tetamu yang hadir pada Pelancaran Malaysia Urban Forum (MUF) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kaum wanita tidak digalakkan terlalu kerap keluar berseorangan di tempat awam khususnya di kawasan yang sunyi dan berisiko berlakunya jenayah. 

Mengulas mengenai tragedi samun dalam lif di stesen Transit Aliran Massa (MRT) baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, wanita perlu bertanggungjawab untuk menjaga diri sendiri. 

Dalam masa yang sama Wan Azizah menggalakkan kaum itu untuk belajar cara-cara mempertahankan diri termasuklah menyediakan alatan yang sepatutnya. 

“Memang saya rasa satu yang sepatutnya ada pengawasan sepanjang masa di CCTV (kamera litar tertutup) sebab mesti ada control room (bilik pengawasan) supaya tidaklah nampak macam wanita itu kena belasah seorang sekurang-kurangnya ada tindakan segera.

“Namun satu hal lain kadang kala mungkin ada terlepas pandang pergi tandas ke apa (orang yang di dalam bilik pengawasan CCTV).

“Jadi sesiapa pun sebagai wanita yang selalu keluar seorang diri harus menjaga diri, jangan selalu keluar seorang diri, di kawasan tidak ramai orang, kan berisiko jadi kita kena jaga juga.

“Kita juga ada pepper spray walaupun tidak mudah untuk mempertahankan diri, tapi kita kena belajar untuk cara mempertahankan diri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Bandar Malaysia (MUF) 2019. 

Seorang lelaki warga tempatan kini diburu polis berhubung satu kejadian samun sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita di dalam sebuah lif di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras di sini awal pagi beberapa hari lalu.

Dalam kejadian sekitar pukul 6.45 pagi itu mangsa berusia 48 tahun telah disamun serta dibelasah oleh suspek setelah masuk ke dalam lif di stesen berkenaan.

Wan Azizah yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengakui wujud keperluan untuk mana-mana anggota polis menemani wanita yang dilihat seorang diri di kawasan yang sunyi namun dalam masa yang sama mengakui ianya agak sukar dilaksanakan kerana kekangan tugas dan masa.

“Saya rasa memang perlu tapi kadang kala mereka ada kekangan apatah lagi pada awal-awal pagi 

“Jadi kita harus ambil mengambil tanggungjawab kepada diri sendiri itu yang penting,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast