iklan biasiswa kejururawatan
Gegantung iklan biasiswa kejururawatan sebuah hospital swasta di Sungai Petani meletakkan syarat perkauman yang tular di media sosial sejak semalam.

KUALA LUMPUR – Sebuah hospital swasta terkenal di Sungai Petani, Kedah hari ini memohon maaf selepas gegantung iklan tawaran biasiswa bagi pelajar kejururawatan yang bersifat perkauman tular di media sosial awal pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette di akaun Facebooknya hari ini mendapati iklan terbabit telah ditarik balik serta-merta selepas ia menimbulkan kritikan pelbagai pihak kerana mengutamakan pelajar bukan Melayu sahaja.

Pentadbir hospital terbabit dalam posting Facebooknya terbaru pagi ini mendakwa iklan itu dinaikkan tanpa kelulusan daripada pihak atasan.

“Kami sangat menyesal atas kandungan yang tidak boleh diterima pada iklan biasiswa kami.

“Iklan itu dipasang oleh kakitangan tanpa kelulusan dan ia tidak mencerminkan nilai organisasi kami,” katanya menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Hospital swasta itu juga memberi jaminan perkara terbabit tidak akan berulang dan pihaknya bertanggungjawab penuh terhadap kesilapan dalam iklan tersebut.

Pusat perubatan itu juga menegaskan bahawa mereka sentiasa mengamalkan dasar pekerjaan yang adil dan hak sama rata kepada semua kaum dan agama.

“Kami bertanggungjawab penuh atas kesilapan ini dan memberikan jaminan bahawa ia tidak akan berlaku lagi.

“Kami mengamalkan dasar pekerjaan yang adil dan kami tidak membenarkan apa-apa amalan yang memudaratkan mana-mana kaum atau agama,” katanya. – MalaysiaGazette