Muhammad Khalil Abdul Hadi tindakan Israel
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sepatutnya meminta penjelasan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dokumen sokongan daripada Pas.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jika benar wujud pembelotan terhadap Perdana Menteri dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) sendiri, Guan Eng perlu segera bertindak.

“Tiada seorang pun pemimpin utama PH seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Guan Eng mahupun Mohamad Sabu bertanyakan Dr. Mahathir sendiri tentang dokumen sokongan tersebut.

“Guan Eng seperti jaguh kampung meminta Datuk Takiyuddin Hassan pula beri bukti. Kenapa Guan Eng tidak tanya Dr. Mahathir sendiri untuk apa keperluan dan sebab meminta dokumen sokongan dari Pas?

“Sebenarnya Guan Eng tidak berani tanya Dr. Mahathir kerana ia hanya akan mendedahkan pekung yang telah lama bernanah di dalam PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, Takiyuddin selaku Setiausaha Agung Pas berkata, Pas akan menyokong kepimpinan Dr Mahathir jika berlaku pengkhianatan dalam pentadbiran Kerajaan PH.

Takiyuddin berkata, sokongan itu bertujuan untuk mempertahankan agama, negara dan bangsa dari sebarang bentuk ancaman.

Pas mengemukakan surat perakuan bertulis kepada Dr Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam pertemuan yang berlangsung di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Muhammad Khalil juga berkata, jika Guan Eng tidak mempunyai keberanian bertanyakan hal itu kepada Dr Mahathir, ia bermakna pergolakan dalam PH tidak boleh dibendung lagi dan kini diketahui umum.

“Jika benar Guan Eng dan DAP menyokong kepimpinan Dr. Mahathir, cabaran untuk DAP dan Guan Eng, adakah mereka bersetuju dan menyokong Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga PRU15 ?

“Beranikah Guan Eng dan DAP menyahut cabaran ini? Jika tidak berani bermakna sebenarnya memang akan berlaku seperti yang dijangka.

“Guan Eng usah berlagak seperti jaguh namun sebenarnya penakut, seperti lempar batu sembunyi tangan. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu buat-buat tanya pula,” katanya.

Anak kepada Presiden Pas itu turut menegaskan, Guan Eng dan DAP perlu sedar bahawa mereka menjadi Kerajaan Persekutuan bukan kerana mereka kuat dan mendapat sokongan rakyat.

“Sebenarnya PH menang kerana sokongan rakyat terhadap Dr. Mahathir terutamanya orang Melayu.

“Majoriti orang Melayu menolak DAP sejak dari dahulu lagi walaupun DAP bermati-matian cuba mendapatkan sokongan orang Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette