Penulis Buku, Saodah Ismail bergambar bersama buku dan poster Sudirman pada Majlis Pelancaran Buku Sudirman Yang Ku Kenali di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Seorang wartawan hiburan terkenal era 80an hari ini menegaskan punca sebenar kematian penyanyi Allahyarham Sudirman Hj Arshad adalah akibat perbuatan sihir serta pneumonia dan langsung tidak ada kena mengena dengan pengambilan dadah atau Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan (AIDS) seperti yang sering diperkatakan.

Saodah Ismail yang juga rakan karib Allahyarham memberitahu, Sudirman sendiri semasa hidupnya menyedari dirinya menjadi mangsa fitnah ramai pihak yang menuduhnya mengambil dadah.

Katanya, disebabkan tuduhan-tuduhan tersebut, Sudirman pernah menjelaskan dalam beberapa sidang akhbar yang beliau tidak pernah terlibat dalam mengambil sebarang benda terlarang dalam hidupnya sebagai anak seni.

Menurut Saodah, pernah selepas mengadakan persembahan di Sarawak, Sudirman mengatakan dalam satu sidang akhbar yang beliau berani bersumpah tidak mengambil dadah.

MGF20022019_BUKU SUDIRMAN_13
Penulis Buku, Saodah Ismail pada Majlis Pelancaran Buku Sudirman Yang Ku Kenali di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2019

Malah kata Saodah, oleh kerana merasakan seolah-olah penafian itu belum cukup, Sudirman sekali lagi mengulang penafian yang sama dalam satu lagi sidang akhbar tidak lama selepas itu.

” Sudirman ketika itu mengakui badannya semakin kurus dan mukanya bertambah cengkung kerana terlalu penat berlatih untuk mengadakan pelbagai persembahan malah bila bekerja beliau selalu hilang selera makan sehingga hampir seminggu tidak menjamah nasi, hanya minum bergelas air suam.

” Ketika beliau sakit, banyak cerita mistik mengenai keadaannya. Pernah seorang peminatnya dari Perak mendedahkan Sudirman ada menulis surat ‘meminta maaf’ kerana baru saja baik sakit disebabkan ‘dianiaya seseorang’ di mana dari tubuhnya keluar hirisan tengkorak orang mati dan dia nyaris hilang ingatan.

” Saya antara orang yang percaya bahawa meskipun perubatan menyebut pneumonia atau jantungnya gagal berfungsi sebagai punca kematian Allahyarham, saya percaya beliau juga terkena sihir,” kata Saodah dalam buku tulisannya yang bertajuk Sudirman Yang Ku Kenali.

Buku tersebut dirasmikan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said di salah sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.

MGF20022019_BUKU SUDIRMAN_03
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said (kiri) merasmikan buku pada Majlis Pelancaran Buku Sudirman Yang Ku Kenali tulisan Saodah Ismail (kanan) di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2019

Untuk rekod, penerbitan buku ini berdasarkan kisah-kisah yang diceritakan semula oleh teman-teman baik penghibur nombor satu Asia tersebut.

Sepanjang kariernya sebagai wartawan, Saodah menyimpan banyak kenangan manis dan anekdot mengenai artis yang mengharumkan nama negara ini.

Kini beliau menghimpunkan kisah-kisah tersebut di dalam buku berkenaan.

MGF20022019_BUKU SUDIRMAN_05
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said (kiri) bersama penulis buku Saodah Ismail (dua kiri) dan selebriti jemputan, Datuk Aznil Nawawi pada Majlis Pelancaran Buku Sudirman Yang Ku Kenali tulisan di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2019

Turut menyumbang kisah mereka di dalam buku ini adalah penulis lirik Habsah Hassan, bekas pegawai perhubungan EMI Norisah Sulaiman, pengurus Sudirman ketika zaman kemuncaknya Danial Dharanee Kannan, peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar, Presiden pengasas Kelab Peminat Sudirman Ramlan Md Isa dan bekas wartawan Media Hiburan Intan Zabidin dan beberapa lagi.

Dalam sidang akhbar selepas pelancaran buku itu, Saodah memberitahu, antara sebab beliau menghasilkan buku berkenaan adalah kerana kecewa dengan pelbagai pihak yang gagal menunaikan janji pasca kematian penghibur nombor satu Asia itu.

MGF20022019_BUKU SUDIRMAN_14
Penulis Buku, Saodah Ismail pada Majlis Pelancaran Buku Sudirman Yang Ku Kenali di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2019

” Waktu Allahyarham meninggal, beliau ‘dimandikan’ dengan pelbagai janji antaranya nak buat sebuah institusi, nak buat galeri, nak buat muzium, nak buat Jalan Sudirman, nak bagi biasiswa Sudirman untuk anak-anak muda yang berbakat besar tetapi lama kelamaan tak ada apa pun yang berlaku.

” Muzium pun tak ada, galeri pun saya tak tahu wujud ke tidak, malah ada yang kata hidup segan mati tak mahu. Kuburnya pun hanya ahli keluarga dan peminat yang jaga. Kita belum ada satu bentuk penghargaan untuk Allahyarham.

” Dua tiga hari lagi genap 27 tahun kematiannya, orang semua akan bercakap mengenai Sudirman…sebagai seorang kawan, saya nekad menghasilkan buku ini kerana tidak mahu namanya hilang begitu saja,” kata Saodah.

Buku Sudirman Yang Ku Kenali ini berharga RM29 dan pesanan pembelian boleh dibuat melalui nombor Whatsapp 019 675 2702. – Malaysia Gazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast