Gambar hiasan

KOTA BHARU – Bekalan air bersih di negeri ini dijangka terjejas jika tiada hujan dalam tempoh dua minggu akan datang, kata Pengarah Eksekutif Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Ab Rashid Mohd Yusoff.

Beliau berkata, ia berikutan beberapa loji rawatan air yang menggunakan sumber air sungai menunjukkan penyusutan ekoran cuaca panas ketika ini.

“Cuaca panas serta hujan berkurangan menyebabkan penurunan ketara paras air di sungai-sungai dan empangan yang membekalkan sumber air mentah kepada loji rawatan air.

“Paras air sungai di Kelar, Pasir Mas ketika ini menunjukkan penyusutan kira-kira 0.2 meter sekali gus memberi kesan kepada Loji Rawatan Air (LRA) Kelar. Perkara sama juga dikesan berlaku di beberapa loji lain termasuk LRA Remas dan Kuala Tiga di Tanah Merah dan LRA Tualang di Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata, AKSB belum menerima sebarang aduan berhubung masalah bekalan air di kawasan sekitar empat loji berkenaan yang mampu menampung keperluan kepada kira-kira 200,000 pengguna.

Ab Rashid berkata, AKSB mengambil langkah proaktif dengan menambah sebuah pam air di Sungai Kelar yang dijangka siap dipasang minggu hadapan, membuat pemantauan paras air sungai setiap sejam selain menyediakan 120 tangki statik untuk kegunaan di kawasan kritikal.

“Kita juga telah memastikan sembilan lori tangki air dalam keadaan baik untuk digunakan sepanjang musim panas ini dan mungkin membekukan cuti pekerja jika keadaan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, AKSB memandang serius berhubung kesan cuaca panas terhadap bekalan air di negeri ini dan akan memastikan pengguna dapat terus menikmati keperluan asas itu seperti biasa.

Katanya, Kelantan masih berada dalam tempoh monsun timur laut yang dijangka berakhir pada hujung Mac ini dan cuaca panas yang berlaku pada masa ini bukan disebabkan kemarau.

Dalam pada itu, Ab Rashid berkata, orang ramai dinasihatkan menggunakan bekalan air secara berhemah kerana didapati penggunaan air untuk domestik meningkat setiap kali musim panas.

Untuk rekod, AKSB mempunyai 36 loji rawatan air di seluruh Kelantan termasuk 11 loji menggunakan sumber air sungai manakala selebihnya daripada air bawah tanah. – Bernama