Ahmad Faizal
Ahmad Faizal Azumu

SEMENYIH – Langkah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menonjolkan diri di sini tidak mengganggu perjalanan kempen calon Pakatan Harapan (PH).

Beliau ketika ditemui media selepas memberikan ceramah di Beranang malam ini berkata, kehadirannya ke Semenyih adalah disebabkan rasa tanggungjawab untuk membantu calon PH dalam mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Mac ini.

Menurutnya, tidak timbul sebarang masalah bagi beliau membantu calon PH untuk berkempen kerana Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin merestuinya.

“Pimpinan tiada beri masihat, tadi kita ada mesyuarat bersama presiden dan saya telah beri laporan perjalanan PDM (pusat daerah mengundi) yang kami diarah untuk menjaganya sebagai PDM angkat.

“Tiada arahan untuk saya meninggalkan kawasan ini, dia (Muhyiddin) tahu dan malam ini kita berceramah sama-sama,” katanya ketika ditemui media selepas memberikan ceramah Kamoung Batu 26, Beranang di sini malam ini.

Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehadirannya sama ada akan mengganggu perjalanan kempen PRK berkenaan ekoran kemelut yang sedang dihadapinya ketika ini.

Sebelum ini, timbul kontroversi apabila beberapa pimpinan Bersatu Perak mendesak supaya Ahmad Faizal digantikan dengan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hamzah yang menyertai Bersatu baru-baru ini dikatakan calon paling sesuai untuk menggantikan Ahmad Faizal yang dilihat tidak lagi mampu untuk mengendalikan Bersatu negeri Perak.

Hamzah yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Larut turut dicanang untuk diangkat sebagai ketua negeri kerana mempunyai pengalaman yang luas dalam politik.

Dalam pada itu Ahmad Faizal menjelaskan, kehadirannya di Semenyih adalah atas kapasiti peribadi dan dengan kerelaan hati.

Malah atas semangatnya itu, beliau juga sanggup mengorbankan cutinya untuk membantu kempen calon PH, Muhammad Aiman Zainali pada PRK itu.

“Ramai dalam kalangan ketua bahagian juga ada di sini untuk membantu tanpa mengeluarkan apa-apa perbelanjaan daripada parti.

“Saya sendiri datang ke sini ambil cuti untuk membantu kempen yang dijalankan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast