KUALA LUMPUR – Gempar hari ini apabila tular video dan gambar patung berhala yang diletakkan di pintu utama surau Sabilul Huda Taman Pendamar Indah Pelabuhan Klang.

Patung Na Tuk Kong atau Datuk Keramat atau Datuk Gong itu merupakan Dewa Melayu yang disembah oleh kaum Cina di Malaysia sejak dulu lagi berdasarkan kepercayaan mereka.

Siapa pun melakukannya ia dianggap menghina umat Islam, kata Yang Dipertua PERKASA Selangor, Borhan Ahmad Zakaria.

“PERKASA Selangor tidak mahu menuduh siapa yang menjadi dalang disebalik kejadian ini. Baik Islam atau bukan Islam yang melakukan, tindakan sekeras-kerasnya patut diambil kerana pihak berkuasa tidak boleh berkompromi tentang soal menjaga keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara kita, lebih-lebih lagi jika ia tercetus atas perkara yang berbaur keagamaan dan perkauman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Borhan, tindakan yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab ini adalah satu tindakan yang biadab.

PERKASA Selangor menentang sekeras-kerasnya tindakan itu dan berharap agar pihak polis dapat mengambil langkah segera serta mengenakan tindakan yang serius terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab.- MalaysiaGazette