Noorazley Yahya
Noorazley Yahya

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor kesal dengan cadangan kerajaan yang mahu mengecilkan jumlah penjawat awam.

Lebih malang cadangan itu dikeluarkan seminggu selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi amaran kepada penjawat awam agar berpegang pada prinsip taat setia terhadap kerajaan yang memerintah.

Penolong Setiausaha, Datuk Noorazley Yahya berkata, kenyataan itu bertentangan jaminan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih kerajaan Persekutuan bahawa jumlah penjawat awam tidak akan dikurangkan walaupun berlaku penstrukturan semula kementerian.

Kata beliau, dalam keadaan ekonomi negara yang semakin merudum, pastinya penjawat awam yang bakal dipecat itu akan menghadapi kesukaran untuk mencari pekerjaan lain.

“Cadangan untuk mengecilkan saiz penjawat awam juga akan memberi kesan kepada prestasi kerja mereka, sekaligus menyebabkan rakyat tidak akan mendapat manfaat sewajarnya.

“Sekiranya kerajaan serius untuk mengurangkan penjawat awam, Pemuda UMNO Selangor mencadangkan kerajaan mengecilkan dahulu jumlah menteri kabinet yang ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahathir pada sesi soal jawab ketika mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan semalam dilaporkan berkata, jumlah penjawat awam seramai 1.7 juta terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Menurutnya, jumlah itu meningkat dengan mendadak sejak beliau meninggalkan pentadbiran negara pada tahun 2003.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Noorazley berkata, selepas sembilan bulan mentadbir kerajaan, rakyat dapat melihat majoriti menteri yang ada gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Kata beliau, menteri juga gagal menangani isu kos sara hidup yang masih tinggi, harga barang semakin naik, harga komoditi pula turun, bantuan yang selama ini dinikmati oleh rakyat satu persatu dimansuhkan atau dikurangkan.

Justeru itu, beliau berharap kerajaan PH mempertimbangkan semula cadangan tersebut dan tidak terus menerus menekan rakyat di bawah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/21/saiz-penjawat-awam-perlu-dikurangkan-tun-m/