Calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali. foto IQBAL BASRI, 24 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Tempoh berkempen yang hanya berbaki lima hari sahaja lagi akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Muhammad Aiman Zainali untuk bertemu pengundi.

Calon Pakatan Harapan (PH) berusia 30 tahun itu berkata, beliau akan memberi tumpuan untuk bertemu dengan penduduk di sini terutama di kawasan yang belum sempat dilawatinya.

Katanya, setakat ini beliau telah menemui kira-kira 70 peratus penduduk Semenyih dalam tempoh sembilan hari dan menjangkakan selesai dengan misi lawatannya dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

“Tinggal beberapa hari lagi (berkempen), tumpuan kita adalah kawasan yang dirasakan perlu kerja lebih kerana setakat ini saya dan jentera sudah bertemu kira-kira 70 peratus pengundi.

“Jadi dengan baki kempen yang masih tinggal beberapa hari lagi, saya berazam bertemu seberapa ramai pengundi supaya mereka dapat terjemahkan sokongan di atas kertas undi 2 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan mesra di Stesen Teksi Semenyih di sini, hari ini.

Kehadiran Muhammad Aiman disambut oleh Presiden Persatuan Pemandu Teksi, Meter dan Kereta Sewa Hulu Langat, Imran Amed Pala.

Muhammad Aiman berkata, beliau akan meneruskan inisiatif arwah bapa mentuanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, dalam membantu golongan pemandu teksi.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai keluhan pemandu teksi yang mengadu mengenai nasib mereka yang semakin hilang punca pendapatan, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan jika dipilih sebagai ADUN Semenyih yang baharu.

“Itu nanti kita akan bincang kemudian,” ujarnya.

Ditanya mengenai sokongan pengundi India terhadapnya, beliau berkata, kebanyakan pengundi India yang dijumpainya, seratus peratus menyokong PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast