Pesawat Air India

MUMBAI – Keselamatan di sekitar lapangan terbang di seluruh India, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), diperketatkan berikutan ancaman rampasan pesawat Air India, menurut sumber.

Ancaman tersebut diterima menerusi panggilan telefon ke Pusat Kawalan Operasi Air India di lapangan terbang Mumbai lewat malam Jumaat yang memberi amaran bahawa penerbangan India Airlines (sebahagian daripada Air India) ke Pakistan akan dirampas.

“Ia diklasifikasikan sebagai ‘ancaman tidak spesifik’ namun kami memandang serius mengenainya. Kerana ia tidak memberi maklumat terperinci sebagai penerbangan tertentu yang mungkin menjadi sasaran, kami mengandaikan ia boleh terjadi pada mana-mana penerbangan Air India di mana-mana dalam negara,” kata pegawai kanan yang tidak mahu dikenali kepada IANS.

Pada awal pagi Sabtu, semua agensi terbabit mengadakan mesyuarat disusuli arahan Ketua Pengarah Biro Keselamatan Penerbangan Awam (BCAS) mengarahkan Angkatan Keselamatan Industri Pusat (CISF) yang mengawal lapangan terbang di seluruh negara dan semua syarikat penerbangan meningkatkan langkah-langkah keselamatan berkuatkuasa serta merta.

Arahan BCAS yang dikeluarkan menerusi Timbalan Pengarah Operasi 2 New Delhi berkata, semua pengendali pesawat perlu mengguna pakai lapan langkah spesifik dalam usaha memastikan keselamatan semua penerbangan dan penumpang terjamin.

Arahan tersebut telah meminta Unit Keselamatan Lapangan Terbang dan Kumpulan Keselamatan Penerbangan CISF serta agensi-agensi lain mengekalkan kawalan akses yang ketat untuk mengawal kemasukan ke bangunan terminal, kawasan operasi dan kemudahan penerbangan lain.

Pengimbasan penumpang, kakitangan dan pelawat akan dipertingkatkan termasuk mengadakan imbasan secara rawak di pintu penumpang, bagasi, kargo dan terminal kargo serta katering.

Malah terdapat permintaan untuk melakukan pemeriksaan secara intensif terhadap kenderaan yang memasuki kawasan parkir untuk mengelak serangan bom. – Agensi