Mohd Shukri Abdull

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang transaksi dana RM90 juta dari 1MDB disalurkan ke akaun bank rasmi Pas setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan SPRM memang tidak menemui sebarang bukti RM90 yang dikatakan dana 1MDB masuk ke dalam akaun parti itu.

“Siasatan SPRM setakat ini memang tak ada dana RM90 juta yang dikatakan duit 1MDB dimasukkan ke dalam akaun (bank) Pas,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Mohd Shukri berkata demikian ketika ditanya wartawan selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Baru-baru ini Shukri berkata, beliau tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi berhubung siasatan mengenai dakwaan tersebut sambil menegaskan siapa pun yang terlibat akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Antara saksi yang dipanggil membantu siasatan adalah anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, bekas pengerusi Bersih, S Ambiga dan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa.

Artikel oleh Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.