Pakatan Harapan
Calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali

JIKA sebelum ini Pakatan Harapan (PH) menghadapi masalah berhubung jadual pergerakan calon, hari ini masalah sama berlaku semula.

Muhammad Aiman Zainali, 30, dicari media sejak malam tadi bagi mengetahui pergerakan kempennya namun, sehingga tengahari media hanya dimaklumkan bahawa beliau pergi menziarahi rumah keluarga yang menghadapi kematian tetapi tidak dinyatakan alamat lengkapnya.

Malah, jadual harian yang sepatutnya dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp khas calon PH pada awal pagi ini oleh pihak jentera pengelola hanya menyatakan bahwa Muhammad Aiman akan menghadiri satu program di Putrajaya.

Keadaan yang berlaku itu menyukarkan sekumpulan wartawan dan juga jurugambar yang sepatutnya fokus kepada jadual kempennya.

Jentera pengelola jadual calon itu seolah-olah membisu apabila ditanya media mengenai jadual aktiviti Muhammad Aiman, sejak lewat malam tadi.

Timbul persoalan dalam kalangan pengamal media yang membuat liputan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tentang situasi calon itu ketika ini.

Ada juga yang membuat spekulasi liar dengan beranggapan, mungkin calon PH Muhammad Aiman ‘direhatkan’ daripada liputan media atau hanya media-media tertentu sahaja dibenarkan untuk membuat liputan tentang kempennya.

Jika benar perkara itu berlaku ia jelas tidak menggambarkan Malaysia baharu yang kononnya mengamalkan prinsip kebebasan media.

Belum tiba lagi hari pengundian, jentera calon PH nampaknya sudah tewas lebih awal dengan isu-isu panas yang dibawa oleh media-media bukan milik kerajaan.

Namun, selepas 10 hari berkempen, Muhammad Aiman boleh dipuji kerana berjaya menunjukkan kemajuan khususnya terhadap prestasi kerja yang amat membanggakan.

Selain keyakinan yang tinggi, jurutera muda itu juga berani untuk berhadapan dengan media, malah menerusi hujahnya ketika berceramah ringkas di Kampung Batu 26 lalu beliau berani berjanji untuk menyelesaikan masalah penduduk Semenyih dalam tempoh 24 jam.

Semoga pada minggu terakhir berkempen ini, Muhammad Aiman dan jenteranya akan terus menunjukkan sikap yang positif dan memahami tugas sebenar media sehingga hari pengundian dan seterusnya jika beliau bergelar sebagai seorang ‘Yang Berhormat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast