Timbalan Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad Hasan

KUALA LUJPUR – Mekanisme kerajaan untuk mengambil alih lebuh raya milik Gamuda Berhad di ibu negara didapati mengelirukan dan dilihat hanya mahu ‘mencipta kegembiraan’ sementara.

Ia susulan cadangan kerajaan untuk mengenakan kadar percuma pada waktu biasa dari jam 11 malam hingga 5 pagi, iaitu bukan waktu puncak bagi majoriti pengguna dalam kalangan golongan yang bekerja.

Lantaran itu, cadangan berkenaan tidak akan memberi impak optimum dalam percubaan kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

“Adakah inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat atau mengurangkan kesesakan dan penggunaan tol atau meringankan hutang kerajaan atau apa sebenarnya?,” soal Datuk Seri Mohamad Hasan.

Malah, tegas pemangku Presiden UMNO itu, usaha yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu tidak selari dengan janji manifesto “penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya dan lebuh raya adalah tanggungjawab kerajaan untuk rakyat” yang dibentangkan dalam Buku Harapan.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menuntut penjelasan kerajaan sama ada kajian dan penyelidikan berhubung cadangan pembelian dan pengambilalihan empat lebuh raya itu sudah dilaksanakan atau tidak sebelum ia diumumkan.

Pada masa yang sama, beliau turut bertanya adakah polisi caj kesesakan akan dapat mengumpul jumlah secukupnya seperti yang disasarkan untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman.

“Lebih penting, adakah polisi ini akan mendatangkan lebihan kutipan yang mampu disalurkan kepada dana pengangkutan awam, seperti yang dirancangkan?

“Atau adakah polisi ini sekadar usaha kerajaan untuk mengurangkan impak dan kemarahan rakyat atas kenyataan Menteri Kerja Raya sebelum ini yang menegaskan “Terpulang kepada rakyat untuk bermimpi?,” katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya pada Disember lepas menegaskan bahawa hasil kajian mekanisme bagi mencapai matlamat pengurangan kadar dan pemansuhan tol lebuh raya akan dibentangkan kepada Kabinet pada Mei 2019.

JKR juga diberikan tempoh enam bulan dari 31 Oktober 2018 untuk mengemukakan cadangan mekanisme terbaik untuk capai matlamat berkenaan.

Justeru, adakah ini bermakna kenyataan media berhubung keputusan caj dan kadar baharu serta pengambilalihan konsesi dari Gamuda semalam sememangnya dikeluarkan sebelum hasil kajian selesai sepenuhnya?, soal Mohamad lagi.

UMNO katanya, berpendirian bahawa pembiayaan dan kos untuk mengambil alih konsesi tol daripada Gamuda mestilah didedahkan secara telus dan mencukupi.

Ia termasuk jumlah, terma-terma dan mekanisme yang akan digunakan mestilah dibentangkan kepada rakyat kerana tindakan ini pastinya menggandakan liabiliti kewangan kerajaan.

Perkara ini kritikal kerana seperti yang diulang-ulang oleh kerajaan sendiri, negara sedang berhadapan dengan hutang yang sangat besar.

UMNO juga mahukan penjelasan sama ada pengumuman ini mengambil kira impak terhadap pasaran bon domestik memandangkan sektor lebuh raya bertol terdiri daripada 23 penerbit berjumlah RM52.83 bilion bon dan sukuk tertunggak.

“Adakah pasaran bon domestik akan menerima tamparan hebat, sekali gus memburukkan lagi prestasi ekonomi negara yang kini terjerumus ke dalam keadaan deflasi pada bulan Januari 2019, iaitu kali pertama sejak krisis kewangan pada 2009?

“UMNO dengan ini menegaskan wujud keperluan mendesak di pihak kerajaan untuk memastikan secara serius yang keputusan ini benar-benar memberi impak positif kepada rakyat dan bukannya sekadar dibuat untuk menyedapkan hati tanpa memberikan kesan sebenar dalam pengurangan kos sara hidup rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast