Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan berhubung pembelian dan pengambilalihan empat lebuh raya yang dikuasai Gamuda Berhad (Gamuda) bergantung kepada kewangan negara.

Pada peringkat ini, kerajaan masih dalam perbincangan dengan syarikat konsesi dan belum ada satu persetujuan yang dicapai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan perlu melihat kapasiti kewangan terlebih dahulu memandangkan kedudukan kewangan masih serius akibat legasi hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu.

Pada masa sama, kerajaan memerlukan sumber besar untuk infrastruktur seperti pembangunan sekolah, bekalan air dan elektrik serta prasarana lain yang perlu diimbangi.

“Kerajaan belum lagi memuktamadkan pembelian dan pengambilalihan lebuh raya seperti kata Perdana Menteri, kita perlu melihat kapasiti kewangan negara.

“Isu kewangan kita adalah serius, ini isu legasi. Kita tidak berhutang tetapi perlu bayar hutang. Setiap ringgit hasil yang diperoleh kerajaan kita harus agih sebahagian untuk hutang, sebahagian lagi untuk pembangunan.

“Ini yang sedang kita usahakan,” katanya selepas mengadakan ceramah Rapat Rakyat Semenyih.

Meskipun begitu, katanya, pemansuhan tol merupakan komitmen kerajaan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu dan kerajaan komited untuk melaksanakan janji-janji manifesto.

Azmin yakin langkah yang dibuat secara berperingkat-peringkat ini tidak menjejaskan pembangunan ekonomi negara kerana kerajaan memerlukan sumber besar untuk infrastruktur seperti pembangunan sekolah, bekalan air dan elektrik serta prasarana lain yang perlu diimbangi.

Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan untuk mengambil alih empat lebuh raya dalam usaha untuk menghapuskan kutipan kadar tol.

Lebuh raya yang terbabit adalah Lebuh raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Keempat-empat lebuh raya ini dikuasai Gamuda.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan itu juga memaklumkan kerajaan bercadang untuk melaksanakan pemansuhan tol pada bukan waktu kemuncak iaitu antara 11 malam hingga 5 pagi.

Pada waktu biasa, pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada.

Sebagai ganti ‘congestion charge’ (caj kesesakan) akan diperkenalkan, yang mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan bayaran ‘congestion charge’ yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Hasil kutipan “congestion charge’ akan digunapakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman. – MalaysiaGazette