LONDON – Piala Liga kekal menjadi milik Manchester City selepas menumpaskan Chelsea 4-3 menerusi penentuan penalti pada final awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sebelum perlawanan diheret ke masa tambahan.

Kekalahan Chelsea itu terus menambah tekanan bos The Blues, Maurizio Sarri yang kedudukannya menghitung waktu di kelab itu.

Malah perlawanan itu turut tercemar apabila Sarri berselisih faham dengan penjaga golnya, Kepa Arrizabalaga.

Ini kerana Sarri mahu memasukkan penjaga gol simpanan, Willy Caballero selepas Arrizabalaga menerima rawatan ekoran mengalami kecederaan di minit terakhir namun dia enggan untuk digantikan.

Bagaimanapun, Arrizabalaga tampil menjelaskan dia tidak bermaksud untuk bertelagah dengan Sarri dan ingkar arahannya.

“Semua ini adalah salah faham dan saya tidak berniat melanggar arahannya atau melakukan perkara seperti itu terhadap dia.

“Saya sudah menerima rawatan sebanyak dua kali dan dia fikir keadaan saya tidak baik,” katanya kepada BBC Sport. – MalaysiaGazette