SEMENYIH – Sejumlah 858 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan mengundi esok.
Jumlah itu adalah daripada 951 jumlah pengundi yang berdaftar di kawasan berkenaan.
“Kesemua pengundi awal adalah merupakan anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi di Pusat Mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih (761 orang) dan Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang (97 orang).
“Manakala sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA telah mengundi secara pos,” demikan menurut Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun.
Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap ejen calon yang bertanding di PRK Semenyih.
Malah, proses itu akan turut diperhatikan pemerhati-pemerhati Pilihan Raya daripada wakil-wakil organisasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR.
Selain itu, SPR juga akan menyiar secara langsung menerusi Facebook Live proses pengundian awal tersebut.
Dalam pada itu, Azhar berkata, Pusat Pengundian Awal akan dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Manakala bagi Pusat Mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang waktu pengundian ditutup pada jam 2.00 petang.
“Kertas-kertas undi awal itu tidak akan dikira di Tempat Mengundi pada 26 Februari 2019, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.
“Pada 2 Mac 2019 nanti, peti-peti undi awal tersebut akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing. Pemerhati pilihan raya yang dilantik juga akan dibenarkan untuk memerhati proses pengiraan itu,” katanya lagi
Sehingga suku ketiga 2018 DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, pengundi awal (951), pengundi tidak hadir luar negara (32).
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Pas dan PSM dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi.
Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi. -MalaysiaGazette