Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan tiada kemasukan sejumlah RM90 juta ke dalam akaun Pas daripada mana-mana pihak termasuk yang ditohmahkan kononnya dari 1MDB.

Sambil menghargai pengesahan yang dibuat sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Presiden Pas itu berkata, kenyataan berkenaan sekali gus ‘membersihkan’ parti itu daripada tuduhan fitnah yang tidak berasas selama ini.

Katanya, ini membuktikan komitmen Pas untuk memelihara prinsip integriti dan ketelusan yang tinggi.

“Kepada SPRM, semoga Allah memberikan kebaikan dan kekuatan yang berterusan agar dapat menjalankan tugas dengan penuh ikhlas dan profesional,” katanya ringkas dalam kenyataan kepada media semalam.

Di Kuala Terengganu semalam SPRM mengesahkan tiada sebarang transaksi dana RM90 juta dari 1MDB disalurkan ke akaun bank rasmi Pas setakat ini.

Mohd Shukri ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan SPRM memang tidak menemui sebarang bukti RM90 yang dikatakan dana 1MDB masuk ke dalam akaun parti itu. – MalaysiaGazette