WASHINGTON— Kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan China yang sepatutnya dilaksanakan minggu ini ditangguhkan ekoran terdapat perkembangan positif di dalam rundingan yang sedang dijalankan.

Menurut Presiden Donald Trump, sekiranya progres tersebut berterusan, beliau dan Presiden China, Xi Jinping boleh memuktamadkan perjanjian.

Trump merancang untuk meningkatkan tarif kepada 25 peratus berbanding 10 peratus sebelum ini ke atas barangan bernilai AS$200 bilion dari China yang memasuki AS sekiranya rundingan masih belum dicapai menjelang Jumaat.

Trump dalam tweetnya berkata, progres dicapai dalam beberapa perkara termasuk perlindungan harta intelek, perpindahan teknologi, pertanian, perkhidmatan dan matawang.

“Saya akan menangguhkan peningkatan tarif AS yang sepatutnya dijadualkan 1 Mac ini dengan anggapan kedua-dua belah pihak dapat memberi perkembangan yang lebih baik, kami akan merancang sebuah sidang kemuncak untuk Presiden Xi dan saya sendiri di Mar-a-Lago untuk memetarai perjanjian.

“Selamat hujung minggu kepada AS dan China,” katanya di dalam twitternya.

Mar-a-Lago adalah hartanah milik Trump di Florida di mana kedua-dua pemimpin dunia itu pernah mengadakan pertemuan sebelum ini.

Penangguhan tersebut pastinya menjadi berita gembira kepada pasaran sekali gus menjadi petunjuk berakhirnya perang perdagangan yang telah menyebabkan kerugian ratusan bilion dolar serta melembabkan pertumbuhan ekonomi global.-Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast