Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kanan) mengiringi calon Pakatan Harapan PRK N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Agenda Aiman4Semenyih di Pangsapuri Bandar Rinching, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 26 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali malam ini mengumumkan lima agenda dan tekadnya yang akan dilestarikan sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat.

Kelima-lima agenda dan tekadnya itu diterjemahkan dengan menggunakan nama Aiman4Semenyih.

Lima agenda iaitu Semenyih Lestari, Semenyih Selamat, Semenyih Maju, Semenyih Sihat dan Semenyih Terhubung.

Muhammad Aiman berkata, Semenyih Lestari yang dimaksudkan adalah mahu memelihara ekosistem di kawasan itu sehingga mewujudkan eko-pelancongan yang terbaik.

Manakala, Semenyih Selamat pula ia merupakan agenda untuk mengurangkan kadar jenayah domestik.

Agenda Semenyih Maju yang dimaksudkan Muhammad Aiman menjurus kepada langkah bagi memastikan pembangunan ekonomi dilimpahkan kepada rakyat.

Sementara, Semenyih Sihat pula ianya adalah misi bagi memastikan kemudahan klinik kesihatan dipertingkatkan selain mewujudkan klinik pintar untuk dinikmati penduduk.

Semenyih Terhubung yang merupakan tekad terakhir adalah bagi memastikan penduduk mendapat perkhidmatan bas dan teksi dengan lebih baik dan cekap. – MalaysiaGazette