HONG KONG- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mati selepas tercekik bebola daging pada Ahad lalu.
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Chau itu, dalam perjalanan ke rumahnya selepas pulang dari sekolah di Wang Tai Sin sebelum berhenti di sebuah gerai untuk membeli makanan ringan.
Dia yang membeli siew mai, bebola ikan dan bebola daging dan makan sambil berjalan kaki ke rumahnya di Chuk Yuen South Estate sebelum tiba-tiba tercekik.
Menurut akhbar tempatan, kanak-kanak tersebut dilihat memegang leher dan tercungap-cungap ketika ditemui oleh seorang pengawal keselamatan wanita yang kemudiannya menelefon ambulans.
Chua dibawa ke Pusat Rawatan Caritas sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi Hospital Princess Margaret.
Dia kemudiannya meninggal dunia selepas tiga hari menderita kerosakan otak disebabkan kekurangan oksigen yang juga menyebabkan kegagalan beberapa organ penting.
Bercakap kepada media, Presiden Perubatan Kecemasan Kolej Hong Kong, Axel Siu mengingatkan orang ramai supaya tidak bercakap atau berjalan ketika makan.
“Makanan boleh terjatuh ke saluran pernafasan apabila seseorang itu makan terlalu cepat atau berjalan ketika makan,” katanya.
Terdapat banyak kes kanak-kanak tercekik makanan berlaku dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tambahnya. – Agensi