Datuk Dr Suneta Sulaiman
Datuk Dr Suneta Sulaiman

SHAH ALAM – Muhammad Adib Mohd Kassim dinasihatkan tidak terlalu banyak melayari internet agar tidak membaca maklumat-maklumat berkaitan dengan dirinya ketika malam rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman. 

Saksi ke-15, Datuk Dr Suneta Sulaiman yang menyambung keterangannya sejak semalam sebentar tadi berkata, anggota bomba itu disarankan menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi keluarga dan tunangnya. 

“Dia menulis di papan putih nak guna telefon termasuk buat bahasa isyarat dengan tangan. 

“Saya tanya nak telefon? Dia angguk. Selepas berbincang dengan pasukan dan kami memutuskan membenarkan dia menggunakan telefon untuk beberapa ketika, dan saya beritahu dia (Muhammad Adib) begitu.

“Tetapi ada syarat. Syaratnya saya nasihatkan dia tidak melihat internet terlalu banyak sebab saya beritahu dia banyak berita tentang kejadian yang menyebabkannya masuk hospital.

“Saya juga beritahu dia boleh gunakan telefon untuk hubungi adik-beradik, ibu bapa dan tunangnya,”katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini.

Pada 14 Disember 2018 iaitu hari ke 16 di Unit Rawatan Rapi (ICU) Suneta berkata, tahap kesihatan Adib semakin merosot sehingga hari dia meninggal dunia. 

Jelas beliau, Muhammad Adib bernafas laju selain abdomennya semakin membengkak. 

“Dia kelihatan lebih lesu dan bernafas lebih laju. Gas dalam darahnya menunjukkan asidosis yang bermaksud tahap karbon dioksida dalam darah tinggi…. Abdomennya juga mula membesar. Dia tidak memberi respon nasalgastro tiub yang digunakan untuk menyalurkannya makanan kepadanya,” tambahnya. 

Pada 16 Disember kata Suneta, keadaan Adib semakin tidak stabil dan keluarganya juga diberitahu tentang perkembangannya. 

Muhammad Adib tambahnya, kekal tenat sehingga 17 Disember sehingga beliau meninggal dunia. 

“Hari ke 18 (16 Disember 2018) dia memang selalu kritikal tetapi masa ini dia semakin tidak stabil jadi familinya diberitahu.

“Pada 17 Disember keadaannya semakin tenat kami sekali lagi berbincang dan kami beritahu keluarganya,” katanya. -MalaysiaGazette