KUALA LUMPUR – Laporan berhubung kira-kira 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan dan tidak disambung kontrak oleh Kementerian Pendidikan menyebabkan ramai pihak tidak berpuashati.

Malah tindakan menghentikan kerja pengawal keselamatan sekolah kerana mahu menjimatkan kos dianggap sesuatu yang tidak dapat diterima.

Apatah lagi kerajaan dan pihak pentadbir sekolah seperti boleh berkompromi dalam isu berkaitan keselamatan para pelajar.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja terkilan dan merasai masalah yang dihadapi  bekas pengawal keselamatan dan keluarga mereka selain soal keselamatan pelajar.

“Walau apa pun alasan diberikan oleh pentadbir sekolah mahu pun Kementerian Pelajaran tentang kewajaran tindakan ini, saya masih merasakan ini sesuatu yang tidak betul.

“Hakikatnya, pengawal keselamatan mempunyai tanggungjawab yang cukup besar khasnya melibatkan keselamatan bukan sahaja tempa itu sebaliknya pelajar kita lagi-lagi peringkat sekolah rendah.

“Mengapa berkompromi dengan perkara seperti ini?” soalnya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Menurut Raja, masyarakat selama ini bimbang kerana kejadian seperti penculikan, pergaduhan, buli dan kemalangan yang berlaku dalam kalangan pelajar sering berlaku kini terpaksa menerima hakikat tiada kawalan rapi terhadap anak-anak mereka lagi.

“Adakah anda mahu ‘nasi menjadi bubur’ sebelum menyesal selepas itu jika terjadi sesuatu, adakah ketika itu anda mahu katakan tidak cukup kakitangan?

“Tidak faham langsung mengapa sehingga 12,000 orang diberhentikan dengan alasan pengurangan syif malah gaji juga turut dikurangkan kepada yang kekal bekerja, sebenarnya kami bimbang jika keadaan seperti ini berterusan,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan digesa untuk mengkaji semula terma kontrak pengawal keselamatan sekolah yang ditukar daripada dua syif kepada tiga syif setiap hari.

Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Mustapa Ali mendakwa, hal itu kerana terma kontrak tersebut menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan selain tidak disambung kontrak oleh Kementerian Pendidikan.

“Dalam format dua syif yang terbahagi kepada petang dan malam, empat pengawal akan bertugas setiap hari tetapi format tiga syif terbahagi kepada pagi, petang serta malam, hanya tiga pengawal keselamatan bertugas setiap hari.

“Kita menggaji kira-kira 40,000 pengawal keselamatan untuk mengawal 12,000 sekolah di seluruh negara. Pelaksanaan format tiga syif ini sudah tentu memberi kesan kepada kami,” kata Mustapa Ali.

Dalam pada itu, Raja turut melahirkan kegusaran apakah yang akan terjadi kepada 12,000 pengawal keselamatan itu jika mempunyai tanggunggan keluarga.

“Kita juga tahu pengawal keselamatan ini tidak memiliki gaji yang  tinggi, cukup sekadar cukup makan serta menanggung keluarga dalam skala sederhana sahaja. Apa yang berlaku jika tidak bekerja?

“Bagaimana pula nasib pengawal keselamatan yang hanya bekerja seorang menanggung keluarganya? Apakah jaminan diberikan oleh kerajaan kepada mereka-mereka ini?

“Saya juga dengar bukan sahaja pengawal keselamatan, ada juga tukang cuci, pekebun hilang kerja, jika sebelum ini ada beberapa orang kini telah dikurangkan.

“Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Sampai bila mahu membuang kerja atau menamatkan kontrak seperti ini dengan alasan mahu jimat, tidak cukup dana, tidak mampu tanggung jumlah yang tinggi apatah lagi membabitkan sektor kerajaan.

“Jangan buat begini, sebelum buat keputusan secara drastik, fikir dahulu apakah yang akan terjadi bukan pada seorang tapi seluruh keluarga. Patutnya ini kerajaan prihatin, cari jalan selamatkan mereka-mereka ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/25/maszlee-tolong-selesai-isu-pengawal-keselamatan-sekolah/