Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima Perakuan Mahkamah berhubung keputusan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 36A(3) (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 telah mengisytiharkan keputusan pilihan raya DUN itu tidak sah dan terbatal.

Menurutnya, selaras dengan Perkara LVI(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, SPR akan mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan iaitu pada 26 Februari 2019.

“Pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN itu dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan hari ini.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya itu. Tarikh mesyuarat akan dimaklumkan oleh pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan di hari ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu apabila mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr. S. Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast