NEW DELHI – Tentera udara India menggunakan bom buatan Israel pada serangan yang dilakukan ke atas jirannya, Pakistan awal pagi semalam, kata sumber keselamatan India.

Menurut laporan, lima buah jet pejuang Mirage dilengkapi peluru berpandu pintar, Spice 2000, buatan Israel melakukan serangan yang disifatkan New Delhi sebagai serangan terhadap kem latihan pengganas.

Peluru berpandu itu seberat 1,000 kilogram setiap satu dan beroperasi dengan koordinat pra Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).

spice 2000
Peluru berpandu pintar, Spice 2000, buatan Israel.

Peluru berpandu itu juga dilengkapi dengan teknologi kalis daripada digodam atau dipesongkan, kata sumber itu.

Pakistan berkata tiada kemalangan jiwa berlaku pada serangan tersebut manakala New Delhi mendakwa serangan itu menyababkan ‘sebilangan besar’ militan terkorban.

Serangan udara tersebut dilakukan susulan pengeboman berani mati di wilayah pertikaian Kashmir pada 14 Februari lalu yang menyaksikan lebih 40 anggota tentera India terbunuh.

Pakistan menafikan ia terbabit dalam serangan itu namun berikrar akan membalas sebarang operasi ketenteraan India terhadapnya.

Beberapa wartawan mendaki bukit Kangaran Nallah semalam untuk ke lokasi pengeboman berhampiran Balakot yang terletak berdekatan sempadan Kashmir di wilayah Pakistan.

Mereka melihat beberapa kawah besar, pokok-pokok tumbang dan penduduk kampung tertanya-tanya mengapa mereka menjadi sasaran.

Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral, Asif Ghafoor berkata, pesawat India melintasi masuk ke sektor Muzafarabad di Kashmir yang dikuasai Pakistan.

Beliau berkata, Pakistah telah mengerahkan jet pejuangnya dan pesawat India itu telah melepaskan muatan ‘dalam keadaan tergesa-gesa’ dekat Balakot.

india 1

Ketua Polis Balakot, Saghir Hussain Shah berkata, beliau telah menghantar pasukan ke kawasan pengeboman itu yang disifatkannya sebagai kawasan hutan yang tandus.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dan tiada kerosakan berlaku.

Tiada penjelasan terhadap perbezaan maklumat ke atas kawasan pengemboman itu, namun India dan Pakistan sering kali bercanggah pandangan.

Israel disifatkan sebagai pembekal senjata utama kepada tentera India dan baru-baru ini urusniaga senjata antara kedua-dua negara dianggarkan berjumlah berbilion dolar setahun.

Sejak dua tahun lalu, tentera Israel dan India melakukan latihan bersama dan para pegawai kanan India melawat Israel.

Pada 2017 Israel Aerospace Industries bersetuju membekalkan sistem pertahanan udara kepada tentera India yang disifatkan sebagai salah satu urusniaga terbesar dalam sejarah industri keselamatan Israel. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.