Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Santai 2 Roda Semenyih 2019 sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Tesco Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan bayangan akan ada dua lagi pilihan raya kecil (PRK) selain DUN Rantau selepas selesai proses pengundian di Semenyih Sabtu ini.

“Kita ada tiga lagi tempat nak ada pilihan raya kecil. Satu di Negeri Sembilan di DUN Rantau.

“Bila di situ kita menang, maka dekatlah. Tidak lama lagi lagi satu PRK,” katanya dalam ucapan perasmian Santai 2 Roda Semenyih di perkarangan Tesco Semenyih, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menyebut kawasan mana yang bakal berhadapan dengan PRK itu.

Mengikut perkembangan semasa, dua kerusi Parlimen yang mungkin perlu menjalani pilihan raya kecil adalah Jasin, Melaka dan DUN Sungai Sibuga di Sabah.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan petisyen pilihan raya Parlimen Jasin yang difailkan oleh calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, ke Mahkamah Pilihan Raya untuk dibicarakan.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, membenarkan rayuan Khairuddin untuk kes itu dikembalikan bagi dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Pilihan Raya yang baharu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Khairuddin kalah dalam pesaingan tiga penjuru dengan perbezaan 219 undi kepada Datuk Seri Ahmad Hamzah Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon Pas, Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lepas menurut Seksyen 34(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau yang memohon perintah deklarasi keputusan PRU-14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah mendakwa ahli politik BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baharu perlu diadakan.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga pula kini dipegang bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Selasa lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 5 Mac ini untuk pengurusan semula kes bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang didakwa atas 35 pertuduhan rasuah berkaitan konsesi balak berjumlah USD63.3 juta (RM263 juta). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.